Apakah agama Kristian dan apa yang dipercayai oleh Kristian?




Soalan: Apakah agama Kristian dan apa yang dipercayai oleh Kristian?

Jawapan: 1 Korintus 15:1-4 berkata, “Saudara-saudaraku, sekarang aku hendak mengingatkan kamu tentang Berita Baik yang aku khabarkan dahulu. Kamu menerimanya, dan kepercayaan kamu kepada Kristus berdasarkan Berita Baik itu. Itulah Berita Baik, perkhabaran yang aku beritakan kepada kamu. Berita baik itu akan menyelamatkan kamu jika kamu berpegang kepadanya dengan teguh. Tetapi jika kamu tidak berpegang kepadanya dengan teguh, maka kepercayaan kamu sia-sia. Apa yang aku sampaikan kepada kamu adalah apa yang sudah aku terima. Inilah perkara terpenting: Kristus mati kerana dosa kita, sesuai dengan yang tertulis di dalam Alkitab. Hal ini juga tertulis di dalam Alkitab: Dia dikuburkan dan pada hari ketiga Dia dihidupkan semula.”

Secara ringkas, inilah kepercayaan agama Kristian. Agama Kristian adalah unik di antara semua kepercayaan, kerana agama Kristian adalah lebih kepada hubung dengan Tuhan daripada upacara keagamaan. Selain daripada mengikut satu senarai perkara yang boleh dilakukan dan yang jangan dilakukan, tujuan agama Kristian ialah mengikuti jalan yang disediakan oleh Tuhan. Hubungan itu boleh dijalin disebabkan oleh Yesus Kristus dan kerja Roh Kudus di dalam kehidupan Kristian.

Kristian percaya bahawa Kitab Injil diturunkan oleh Tuhan dan merupakan Firman Tuhan yang tiada kesalahan serta ajarannya adalah muktamad (2 Timotius 3:16, 2 Petrus 1:20-21). Kristian percaya bahawa hanya terdapat satu Tuhan dalam bentuk tiga orang, iaitu Bapa, Anak (Yesus Kristus) dan Roh Kudus.

Kristian percaya bahawa manusia dicipta untuk menjalin hubungan dengan Tuhan, tetapi dosa telah memisahkan manusia daripada Tuhan (Roma 5:12, 3:23). Agama Kristian mengajar bahawa Yesus Kristus datang ke bumi sebagai Tuhan yang benar dan juga manusia yang benar (Filipi 2:6-11), dan mati di atas salib. Kristian percaya selepas Dia mati, Dia dikebumikan, bangkit semula, dan sekarang berada di sebelah kanan Tuhan Bapa untuk membuat rayuan bagi pihak mereka yang percaya kepadanya (Ibrani 7:25). Agama Kristian mengatakan bahawa kematian Yesus di atas salib cukup untuk membayar denda dosa semua manusia dan pengorbanan ini memulihkan hubungan yang terputus antara Tuhan dan manusia (Ibrani 9:11-14, 10:10, Roma 6:23, 5:8).

Untuk diselamatkan, kita hanya perlu percaya sepenuhnya pada kerja yang disempurnakan oleh Yesus Kristus di atas Salib. Jika seseorang percaya bahawa Yesus telah mati untuknya dan bangkit semula daripada kematian, maka orang itu dapat diselamatkan. Manusia tidak dapat melakukan sebarang perkara untuk mendapat penyelamatan. Tiada sesiapa yang “cukup baik” untuk memuaskan Tuhan, kerana kita semua berdosa (Yesaya 64:6-7, 53:6). Selain itu, tiada apa lagi yang perlu dilakukan kerana Yesus sudah melakukan kesemuanya! Semasa Dia berada di atas salib, Dia berkata, “Sempurna” (Yohanes 19:30).

Kita tidak boleh melakukan sebarang perkara untuk mendapat penyelamatan. Sebaik sahaja seseorang percaya bahawa Kristus telah mati dan bangkit daripada kematian, maka orang itu tidak akan hilang penyelamatannya. Ingat, kerja penyelamatan telah dilakukan dan disempurnakan oleh Yesus. Penyelamatan tidak bergantung kepada manusia! Yohanes 10:27-29 mengatakan, “Domba-domba-Ku mendengarkan suara-Ku. Aku mengenal mereka dan mereka mengikut Aku. Aku memberi mereka hidup sejati dan kekal dan mereka tidak akan binasa. Tidak seorang pun dapat merampas mereka dari tangan-Ku. Apa yang diberikan oleh Bapa-Ku kepada-Ku lebih besar daripada segala-galanya. Tidak seorang pun dapat merampas mereka daripada tangan Bapa.”

Mungkin akan ada orang yang fikir, “Ini bagus – apabila saya sudah diselamatkan, saya boleh melakukan segala yang saya mahu, dan tidak akan hilang penyelamatan saya!” Tetapi penyelamatan bukannya melakukan segala yang kamu suka. Penyelamatan ialah bebas daripada kehidupan kamu yang berdosa sebelum ini, dan bebas mengejar cara hidup yang rapat dengan Tuhan. Asalkan penganut-penganut masih tinggal di dunia ini dalam keadaan asal yang berdosa, mereka akan terus berdepan dengan nafsu yang berdosa. Hidup dalam dosa menghalang hubungan yang rapat dengan Tuhan, penganut agama Kristian yang masih hidup berdosa tidak akan menikmati hubungan yang rapat dengan Tuhan. Walau bagaimanapun, Kristian akan menang dalam pertempuran dengan dosa ini jika mereka membaca Kitab Injil dan mematuhi firman Tuhan dalam hidup mereka; serta sudi menerima ajaran daripada Roh Kudus; tunduk kepada pengaruh Roh Kudus dan mematuhi ajaran Tuhan melalui Roh Kudus.

Jadi, agama-agama lain memerlukan kita melakukan sesuatu untuk mendapat pahala yang baik, tetapi agama Kristian adalah mengenai hubungan baik dengan Tuhan. Agama Kristian adalah mengenai kepercayaan kepada Kristus yang mati di atas salib untuk membayar dosa kita, dan bangkit semula daripada kematian. Denda dosa kamu telah dibayar dan kamu boleh menikmati hubungan yang rapat dengan Tuhan. Kamu boleh memenangi sifat dosa semulajadi dan berjalan dengan Tuhan dalam keadaan taat-setia. Inilah agama Kristian yang sebenar mengikut ajaran Kitab Injil.



Balik ke laman bahasa Melayu

Apakah agama Kristian dan apa yang dipercayai oleh Kristian?