Adakah Yesus telah pergi ke neraka pada tempoh selepas kematian-Nya dan sebelum kebangkitan-Nya?




Soalan: Adakah Yesus telah pergi ke neraka pada tempoh selepas kematian-Nya dan sebelum kebangkitan-Nya?

Jawapan: Adakah roh Yesus telah pergi ke neraka pada tempoh selepas kematian-Nya dan sebelum kebangkitan-Nya? Terdapat pelbagai kekeliruan berhubung dengan pertanyaan ini. Konsep ini datang daripada Pengakuan Iman Rasul yang berkata, “Dia telah turun ke neraka.” Juga terdapat beberapa ayat dalam Firman Tuhan, yang apabila dilihat kaedah penterjemahan ke atasnya, telah menggambarkan bahawa Yesus telah pergi ke “neraka”. Semasa mengkaji isu ini, adalah sangat mustahak untuk melihat apa yang dikatakan oleh kitab Injil mengenai “dunia” orang mati.

Dalam Firman Tuhan, perkataan yang digunakan untuk menggambarkan dunia orang mati ialah “sheol”. Ertinya ialah “tempat orang mati” atau “tempat perginya roh-roh orang mati.” Perkataan bahasa Yunani dalam Perjanjian Baru ialah “hades” untuk neraka yang juga merujuk kepada “tempat orang mati”. Ayat-ayat lain dalam Perjanjian Baru menunjukkan bahawa sheol/hades merupakan satu tempat sementara di mana roh-roh ditempatkan sementara menanti hari kebangkitan dan pengadilan. Wahyu 20:11-15 menunjukkan perbezaan yang ketara antara kedua-duanya. Neraka (lautan api) merupakan tempat hukuman tetap dan kekal bagi mereka yang tidak percaya kepada Yesus Kristus. Hades merupakan tempat sementara. Jadi Yesus tidak pergi ke “neraka” kerana “neraka” ialah suatu tempat pada masa akan datang, yang akan mula beroperasi selepas penghakiman di hadapan Taktha Putih yang besar dijalankan (Wahyu 20:11-15).

Sheol/hades ialah suatu tempat yang mempunyai dua bahagian (Matius 11:23; 16:18; Lukas 10:15; 16:23; Kisah 2:27-31), tempat mereka yang percaya kepada Yesus Kristus dan mereka yang tidak percaya kepada Yesus Kristus. Bahagian di mana orang yang percaya kepada Yesus Kristus ditempatkan dipanggil “Firdaus” dan “Pangkuan Abraham”. Tempat untuk orang yang percaya kepada Yesus Kristus dan yang tidak percaya kepada Yesus Kristus dipisahkan oleh suatu “jurang yang tidak boleh diharungi” (Lukas 16:26). Semasa Yesus naik ke syurga, Dia telah membawa penghuni-penghuni Firdaus (orang-orang yang percaya kepada-Nya) bersama-sama-Nya (Efesus 4:8-10). Bahagian untuk mereka yang tidak percaya kepada-Nya di sheol/hades tetap tidak berubah. Semua orang mati yang tidak percaya kepada-Nya akan pergi ke sana untuk menanti penghakiman terakhir mereka pada masa hadapan. Adakah Yesus telah pergi ke sheol/hades? Ya, menurut Efesus 4:8-10 dan 1 Petrus 3:18-20.

Beberapa kekeliruan timbul daripada terjemahan bahasa Inggeris bagi ayat-ayat seperti Mazmur 16:10-11 kerana Engkau tidak akan membiarkan aku mati (hell), orang yang Engkau kasihi tidak Kau biarkan binasa. Jalan yang menuju kehidupan Engkau tunjukkan kepadaku; hadirat-Mu menggembirakan aku, dan sentiasa membahagiakan aku. “Hell” bukan terjemahan yang tepat untuk ayat ini. Terjemahan yang tepat ialah “kubur” atau “sheol”. Beberapa tahun kemudian Yesus memberitahu salah seorang penyamun yang disalibkan di sebelahnya, “Pada hari ini engkau bersama-sama Aku di Firdaus”. Tubuh-Nya berada dalam kubur, tetapi roh/jiwa-Nya telah pergi ke “Firdaus”. Malangnya banyak terjemahan yang tidak tepat, bahkan tidak betul, tentang bagaimana seharusnya perkataan Ibrani dan Yunani untuk istilah “sheol”, “hades” dan “neraka” diterjemahkan.

Ramai yang berpendapat bahawa Yesus telah pergi ke “neraka” atau bahagian sengsara di sheol/hades dan menderita bagi dosa-dosa kita. Pendapat ini sama sekali tidak berdasarkan kitab Injil. Kematian Yesus di kayu salib dan penderitaan-Nya semasa menggantikan kita sudah mencukupi untuk menebus dosa kita. Darah-Nya menyucikan kita daripada semua dosa (1 Yohanes 1:7-9). Sewaktu Dia disalib, Dia telah memikul dosa-dosa semua manusia. 2 Korintus 5:21 berkata “Kristus tidak berdosa tetapi demi kebaikan kita, Allah meletakkan dosa kita pada Dia. Dengan demikian kita berbaik semula dengan Allah, apabila kita bersatu dengan Kristus.”

Sewaktu Yesus berseru di atas kayu salib, “Allahku, mengapa Engkau meninggalkan Aku?” pada masa itu Dia telah terpisah daripada Bapa akibat daripada dosa-dosa yang dipikulnya bagi pihak kita. Apabila Dia menyerahkan Roh-Nya, Dia berkata, “Bapa, ke dalam tangan-Mu Aku menyerahkan nyawa-Ku”. Penderitaan-Nya bagi pihak kita selesai. Roh/jiwa-Nya telah pergi ke satu bahagian Firdaus di Sheol/hades. Yesus tidak pergi ke neraka. Penderitaan Yesus selesai pada saat Dia mati. Hukuman untuk dosa telah lunas dibayar. Dia kemudian menunggu kebangkitan tubuh-Nya dan waktu Dia akan kembali kepada kemuliaan-Nya selepas kebangkitan-Nya. Adakah Yesus telah pergi ke syurga? Tidak. Adakah Yesus telah ke Sheol/hades? Ya.



Balik ke laman bahasa Melayu

Adakah Yesus telah pergi ke neraka pada tempoh selepas kematian-Nya dan sebelum kebangkitan-Nya?