Apakah yang dikatakan Alkitab tentang bapa-bapa Kristian?




Soalan: Apakah yang dikatakan Alkitab tentang bapa-bapa Kristian?

Jawapan: Hukum terbesar dalam Firman Tuhan adalah ini: “Kasihilah TUHAN, Allahmu, dengan segenap hatimu dan dengan segenap jiwamu dan dengan segenap kekuatanmu” (Ulangan 6:5). Dalam ayat 2 kita membaca, “supaya seumur hidupmu engkau dan anak cucumu takut akan TUHAN, Allahmu, dan berpegang pada segala ketetapan dan perintah-Nya yang kusampaikan kepadamu, dan supaya lanjut umurmu.” Menyusuli Ulangan 6:5, kita membaca, “Apa yang kuperintahkan kepadamu pada hari ini haruslah engkau perhatikan,haruslah engkau mengajarkannya berulang-ulang kepada anak-anakmu dan membicarakannya apabila engkau duduk di rumahmu, apabila engkau sedang dalam perjalanan, apabila engkau berbaring dan apabila engkau bangun.” (Ay. 6-7).

Sejarah Israel menyatakan bahawa bapa-bapa perlu rajin dalam mengajar anak-anak dalam jalan-jalan dan Firman Tuhan demi pertumbuhan rohani dan kebaikan mereka. Itulah yang dilakukan oleh seorang bapa yang taat kepada perintah Firman. Ini membawa kita kepada Amsal 22:6 yang berkata, “Didiklah orang muda menurut jalan yang patut baginya, maka pada masa tuanya pun ia tidak akan menyimpang dari pada jalan itu.” Kata “didik” menunjuk kepada didikan pertama yang diberikan ibubapa kepada seorang anak. Corak didikan yang diberikan adalah menjelaskan kepada anak-anak peraturan hidup yang ditentukan bagi mereka. Memulakan pendidikan awal seorang anak dalam cara ini adalah sangat mustahak.

Efesus 6:4 merupakan rumusan kepada semua arahan kepada seorang bapa. Nasihat ini dinyatakan dari segi positif dan negatif, “bapa-bapa, janganlah bangkitkan amarah di dalam hati anak-anakmu, tetapi didiklah mereka di dalam ajaran dan nasihat Tuhan.” Bahagian negatif daripada ayat ini menunjukkan bahawa seorang bapa jangan sampai memberikan kesan negatif dalam diri anak-anak melalui kekerasan, ketidakadilan,berat sebelah atau dengan penggunaan wibawa yang tidak masuk akal. Perlakuan kasar, tindakan tidak menentu terhadap seorang anak hanya akan memupuk kejahatan dalam hatinya. Kata-kata “bangkitkan kemarahan” bererti “membuat rasa tidak senang, sangat menimbulkan kemarahan, layanan yang salah, atau mengapi-apikan.” Ini dilakukan dengan roh dan cara yang salah—kekerasan, perkara tidak masuk akal, ketegasan yang keterlaluan, kekasaran, tuntutan-tuntutan kejam, larangan-larangan yang tidak perlu, dan ketegasan berdasarkan wibawa kuku besi. Pembangkitan amarah seperti itu akan menghasilkan tindakbalas yang sangat teruk, mematikan perasaan anak-anak, mengurangkan keinginan mereka terhadap kekudusan, dan membuatkan mereka merasa mustahil untuk dapat menyenangkan ibubapa mereka. Ibubapa yang bijaksana berusaha membuatkan ketaatan daripada pihak anak-anak sesuatu yang diingini dan dapat dicapai dengan kasih dan kelemahlembutan.

Bahagian positif Efesus 6:4 dinyatakan dalam arah yang lebih bersifat menyeluruh - ajarkanlah mereka, bangunkan mereka, bentuk tindak tanduk mereka dalam seluruh bahagian hidup dengan ajaran dan nasihat daripada Tuhan. Inilah proses menyeluruh berhubung didikan dan disiplin. Perkataan “nasihat” bercakap tentang memperingatkan anak-anak tentang kesalahan dan kesilapan (secara membangun) dan tugas-tugas (tanggungjawab) mereka.

Seorang bapa Kristian adalah alat di tangan Tuhan. Keseluruhan proses pengajaran dan pendisiplinan mestilah berdasarkan apa yang diperintah dan dikehendaki Tuhan, supaya kewibawaan-Nya sentiasa berada dalam minda, hati dan nurani kanak-kanak. Seorang bapa tidak harus memperlihatkan dirinya sebagai wibawa terakhir bagi menentukan tanggungjawab dan apa yang benar. Hanya dengan menjadikan Tuhan sebagai Guru dan Penguasa yang di dalam kewibawaan-Nya semua perkara berjalan, maka sasaran pendidikan akan dapat dicapai dengan lebih baik.

Martin Luther berkata, “Sediakan sebiji epal di samping rotan apabila dia melakukan yang baik.” Disiplin mesti dijalankan dengan pemerhatian penuh hati-hati dan latihan berterusan disertakan banyak berdoa. Mengajar, displin, nasihat berdasarkan Firman Tuhan, memberikan teguran dan dorongan pada masa yang sama merupakan inti kepada “memberikan nasihat.” Pengajaran-pengajaran datang daripada Tuhan, dipelajari dalam sekolah pengalaman seorang Kristian dan dikelolakan oleh ibubapa—terutamanya oleh si bapa dan oleh si ibu di bawah arahannya. Disiplin Kristian sangat diperlukan bagi membolehkan anak-anak membesar dengan rasa hormat kepada Tuhan, menghormati kewibawaan keluarga, memiliki pengetahuan tentang nilai-nilai seorang Kristian dan penguasaan diri.

“Segala tulisan yang diilhamkan Allah memang bermanfaat untuk mengajar, untuk menyatakan kesalahan, untuk memperbaiki kelakuan dan untuk mendidik orang dalam kebenaran. Dengan demikian tiap-tiap manusia kepunyaan Allah diperlengkapi untuk setiap perbuatan baik” (2 Timotius 3:16-17). Satu tanggungjawab utama setiap bapa adalah untuk membiasakan anak-anak dengan Firman Tuhan.Kaedah dan pendekatan yang digunakan bapa-bapa dalam mendidik anak-anak tidak sama. Apabila seorang ayah setia dalam memberikan teladan,maka apa yang dipelajari anak-anak tentang Tuhan akan membuat mereka mendapat tempat berpijak yang baik dalam hidup di atas muka bumi ini, dalam apa juga yang mereka lakukan atau ke manapun mereka pergi.



Balik ke laman bahasa Melayu

Apakah yang dikatakan Alkitab tentang bapa-bapa Kristian?