settings icon
share icon
Soalan

Apakah ertinya manusia telah diciptakan menurut gambar dan rupa Tuhan? (Kejadian 1:26-27)

Jawapan


Sewaktu hari penciptaan, Tuhan berkata, "Baiklah Kita menjadikan manusia menurut gambar dan rupa Kita” (Kejadian 1:26). Tuhan menyelesaikan karya-Nya dengan “sentuhan peribadi”. Tuhan telah membentuk manusia daripada debu tanah dan memberikannya kehidupan dengan menghembuskan nafas hidup ke dalam manusia. Dengan demikian manusia merupakan mahluk yang unik di antara kesemua ciptaan Tuhan sebab memiliki tubuh jasmani dan jiwa/roh yang bersifat niskala.

Dalam pengertian yang paling sederhana, memiliki “gambar” dan “rupa” Tuhan bererti kita diciptakan untuk menyerupai Tuhan. Adam tidak menyerupai Tuhan dalam pengertian Tuhan mempunyai darah dan daging. Firman Tuhan berkata “Tuhan adalah Roh”(Yohanes 4:24) dan Tuhan wujud tanpa tubuh jasmani. Bagaimanapun tubuh Adam tetap mencerminkan kehidupan Tuhan kerana dia telah dicipta dengan kesihatan yang sempurna dan tidak akan mati.

Gambar dan rupa Tuhan merujuk kepada bahagian niskala manusia. Ia memisahkan manusia daripada dunia haiwan dan menyesuaikannya untuk berkuasa ke atas bumi seperti yang telah ditentukan Tuhan (Kejadian 1:28). Bahagian niskala manusia juga membolehkannya untuk berkomunikasi dengan Penciptanya. “Menurut gambar dan rupa Tuhan” merupakan persamaan dari segi minda, moral dan sosial.

Secara minda,manusia merupakan agen berfikiran waras dan bebas. Dengan kata lain manusia dapat mempertimbangkan perkara dan membuat pilihan. Ini merupakan pantulan kepada kepintaran dan kebebasan Tuhan. Setiap kali seseorang mencipta sesebuah jentera,menulis buku, menghiasi lanskap, menikmati muzik, menghitung atau memberi nama kepada binatang peliharaan, itu menyatakan bahawa manusia telah dicipta menurut gambar dan rupa Tuhan.

Secara moral, manusia telah diciptakan dalam kebenaran dan keadaan sempurna yang tidak mempunyai kesalahan apa-apa dan ini memantulkan kekudusan Tuhan. Tuhan melihat kepada apa yang telah diciptakannya dan berkata ianya “sangat baik”. Hati nurani atau “kompas moral” kita merupakan sisa kepada keadaan asal yang sempurna itu. Apabila seseorang menulis undang-undang, berubah daripada kejahatan, memuji perbuatan yang baik atau merasa bersalah, orang itu meneguhkan kenyataan yang mengatakan manusia telah diciptakan dalam gambar dan rupa Tuhan.

Secara sosial manusia diciptakan untuk bersekutu. Ini memantulkan ketritunggalan Tuhan dan kasih-Nya. Di taman Eden, perhubungan utama manusia adalah dengan Tuhan (Kejadian 3: 8 menampakkan persekutuan dengan Tuhan). Tuhan menciptakan wanita pertama kerana “adalah tidak baik kalau lelaki itu seorang diri sahaja”. Setiap kali seseorang berkahwin, memulakan persahabatan atau menghadirkan diri ke gereja, dia sedang menyatakan bahawa manusia itu telah diciptakan dalam gambar dan rupa Tuhan.

Sebahagian daripada bukti manusia telah diciptakan menurut gambar dan rupa Tuhan adalah kemampuan Adam untuk membuat pilihan-pilihan bebas. Walaupun dia telah diberikan sifat yang benar, Adam telah membuat pilihan yang jahat apabila telah memberontak terhadap Penciptanya. Dengan perlakuannya, Adam telah merosakkan gambaran Tuhan yang ada dalam dirinya dan telah mewariskan gambar dan rupa Tuhan yang rosak itu kepada keturunan-keturunannya (Roma 5:12). Pada hari ini,kita masih membawa gambar dan rupa Tuhan, tetapi kita juga membawa bersama kita parut dan kesan dosa. Secara minda, moral dan sosial kita menampakkan kesan-kesan dosa.

Apabila Tuhan menebus seseorang, Dia mula memulihkan gambar dan rupa Tuhan yang asli dengan mengenakan “manusia baru, yang telah diciptakan menurut kehendak Allah di dalam kebenaran dan kekudusan yang sesungguhnya” (Efesus 4:24). Penebusan itu kita perolehi hanya dengan anugerah Tuhan melalui iman dalam Tuhan Yesus Kristus Penyelamat kita daripada dosa yang memisahkan kita daripada Tuhan (Efesus 2:8-9). Melalui Kristus, kita dijadikan ciptaan baru dalam Tuhan (2 Korintus 5:17).

English



Balik ke laman bahasa Melayu

Apakah ertinya manusia telah diciptakan menurut gambar dan rupa Tuhan? (Kejadian 1:26-27)
Kongsi halaman ini: Facebook icon Twitter icon Pinterest icon Email icon
© Copyright Got Questions Ministries