settings icon
share icon
Soalan

Mengekalkan perkahwinan –apakah kuncinya?

Jawapan


Rasul Paulus berkata, seorang isteri “terikat” kepada suaminya selagi suaminya masih hidup (Roma 7:2). Prinsip di sini adalah kematian harus berlaku di antara pasangan suami isteri sebelum ikatan perkahwinan itu terputus. Ini merupakan perintah Tuhan tetapi di dalam masyarakat moden kita, 51% daripada perkahwinan berakhir dengan perceraian. ini bererti lebih separuh daripada pasangan yang bersumpah “sehingga kematian menceraikan kita” telah melanggar sumpah tersebut.

Apakah yang dapat dilakukan pasangan untuk mempastikan perkahwinan mereka berkekalan? Isu pertama dan terutama merupakan ketaatan kepada Tuhan. Inilah prinsip yang perlu berkuatkuasa sebelum berkahwin. Tuhan berkata, “Berjalankah dua orang bersama-sama, jika mereka belum berjanji?“ (Amos 3:3). Bagi mereka yang telah dilahirkan kembali ini bererti tidak memulakan hubungan yang rapat dengan orang yang belum percaya. “Janganlah kamu merupakan pasangan yang tidak seimbang dengan orang-orang yang tak percaya. Sebab persamaan apakah terdapat antara kebenaran dan kedurhakaan? Atau bagaimanakah terang dapat bersatu dengan gelap?” (2 Korintus 6:14). Sekiranya prinsip ini dituruti, ia dapat mengelak banyak sakit hati dan penderitaan dalam perkahwinan di kemudian hari.

Satu lagi prinsip yang dapat menjaga keutuhan perkahwinan adalah seorang suami harus mentaati Tuhan dan mengasihi, menghormati dan menjaga isterinya seperti dirinya sendiri (Efesus 5:25-31). Prinsip yang sehubungan dengan itu adalah seorang isteri perlu mentaati Tuhan dan tunduk kepada suaminya “seperti kepada Tuhan” (Efesus 5:22). Perkahwinan di antara seorang lelaki dan seorang wanita merupakan gambaran perhubungan di antara Kristus dengan gereja. Kristus memberikan diri-Nya kepada gereja dan Dia mengasihi, menghormati dan melindungi “pengantin-Nya” (Revelation 19:7-9).

Apabila Tuhan membawa Hawa kepada Adam dalam perkahwinan yang pertama, perempuan telah dijadikan daripada “tulang dari tulangku dan daging dari dagingku” (Kejadian 2:21) dan mereka menjadi “satu daging” (Kejadian 2:23-24). Menjadi satu daging membawa erti yang lebih jauh daripada setakat kesatuan jasmani. Ianya bermaksud pertemuan dan penyatuan minda dan jiwa. Perhubungan ini menjangkau jauh ke dalam melebihi deria dan tarikan perasaan sehingga masuk ke dalam “kesatuan” rohani. Perhubungan ini tidak lagi berkisar sekitar “ saya dan milikku” tetapi “kita dan kepunyaan kita”. Ini merupakan salah satu rahsia untuk perkahwinan yang berkekalan. Kedua-dua pasangan suami isteri harus mengutamakan usaha menjadikan perkahwinan mereka berkekalan sehingga kematian. Meneguhkan hubungan peribadi kita dengan Tuhan sangat membantu dalam mempastikan hubungan di antara suami isteri menjadi satu hubungan yang kekal dan menghormati Tuhan.

English



Balik ke laman bahasa Melayu

Mengekalkan perkahwinan –apakah kuncinya?
Kongsi halaman ini: Facebook icon Twitter icon Pinterest icon Email icon
© Copyright Got Questions Ministries