Apakah yang dikatakan Alkitab tentang peperangan?




Soalan: Apakah yang dikatakan Alkitab tentang peperangan?

Jawapan: Ramai orang melakukan kesilapan apabila membaca ayat Alkitab dalam Keluaran 20:13 “Jangan membunuh,” dan menerapkan perintah ini terhadap peperangan. Bagaimanapun, maksud harfiah perkataan Ibrani itu adalah “pembunuhan yang dirancang terlebih awal, disengajakan dengan niat jahat hendak membunuh.” Tuhan sering memerintahkan bangsa Israel untuk pergi berperang dengan bangsa-bangsa lain (1 Samuel 15:3; Yosua 4:13). Tuhan memerintahkan hukuman bunuh ke atas banyak kesalahan jenayah (Keluaran 21:12, 15; 22:19; Imamat 20:11). Jadi Tuhan hanya menentang pembunuhan berniat jahat yang sengaja dilakukan tetapi tidak menentang pembunuhan dalam keadaan yang lain. Peperangan tidak pernah baik, tetapi kadangkala ia merupakan sesuatu yang diperlukan. Dalam dunia yang dipenuhi dengan orang-orang berdosa (Roma 3: 10-18), peperangan tidak dapat dielakkan. Kadangkala satu-satunya cara untuk menghalang orang berdosa daripada mengakibatkan kerosakan yang lebih besar kepada orang yang tidak bersalah adalah dengan berperang.

Dalam Perjanjian Lama Tuhan memerintahkan orang-orang Israel untuk : “Lakukanlah pembalasan orang Israel kepada orang Midia” (Bilangan 31:2). Ulangan 20:16-17 berkata, “Tetapi dari kota-kota bangsa-bangsa itu yang diberikan TUHAN, Allahmu, kepadamu menjadi milik pusakamu, janganlah kaubiarkan hidup apa pun yang bernafas, melainkan kautumpas sama sekali… seperti yang diperintahkan kepadamu oleh TUHAN, Allahmu.” 1 Samuel 15:18 juga berkata, “TUHAN telah menyuruh engkau pergi, dengan pesan: Pergilah, tumpaslah orang-orang berdosa itu, yakni orang Amalek, berperanglah melawan mereka sampai engkau membinasakan mereka.” Jelas sekali bahawa Tuhan tidak menentang semua jenis peperangan. Yesus sentiasa bersetuju dengan Bapa Syurgawi (Yohanes 10: 30), jadi kita tidak boleh berkata bahawa peperangan merupakan kehendak Tuhan hanya dalam Perjanjian Lama. Tuhan tidak berubah (Maleakhi 3:6; Yakobus 1: 17).

Peristiwa kedatangan Yesus yang kedua kali akan berlaku dengan sangat ganas. Wahyu 19:11-21 bercakap tentang peperangan terakhir bersama Kristus pemerintah perang yang akan berperang “dengan keadilan” (ayat 11). Ianya akan menjadi suatu peristiwa yang berdarah (ayat 13). Burung-burung akan memakan daging mereka yang menentang-Nya (ayat 17-18). Dia tidak akan menunjukkan belas kasihan terhadap musuh-musuh yang akan ditakluki-Nya. Dia akan menyerahkan musuh-musuh-Nya ke dalam “lautan api yang menyala-nyala oleh belerang” (ayat. 20).

Pendapat yang berkata Tuhan tidak menyokong peperangan adalah salah. Yesus bukan seorang yang menentang peperangan. Dalam dunia yang dipenuhi dengan orang-orang jahat, kadangkala peperangan diperlukan untuk menghalang kejahatan yang lebih besar lagi daripada berlaku. Sekiranya Hitler tidak dikalahkan dalam Perang Dunia Kedua, berapa juta orang lagikah yang akan terkorban? Sekiranya Perang Saudara Amerika tidak berlaku, berapa ramai lagikah orang-orang berkulit hitam yang akan menderita sebagai hamba abdi?

Peperangan adalah perkara yang dasyat. Beberapa peperangan lebih “benar” daripada yang lain, tetapi peperangan sentiasa diakibatkan oleh dosa (Roma 3: 10-18). Pada masa yang sama Pengkhotbah 3: 8 berkata, “ada waktu untuk mengasihi, ada waktu untuk membenci; ada waktu untuk perang, ada waktu untuk damai.” Dalam dunia yang dipenuhi dosa, kebencian dan kejahatan (Roma 3: 10-18), peperangan tidak dapat dielakkan. Orang-orang Kristian jangan menginginkan peperangan tetapi orang-orang Kristian juga tidak boleh menentang kerajaan yang telah diletakkan Tuhan untuk berkuasa di atas mereka (Roma 13: 1-4; 1 Petrus 2: 17). Perkara yang terpenting kita dapat lakukan sewaktu berlakunya peperangan adalah berdoa supaya Tuhan memberikan hikmat kepada pemimpin-pemimpin, mendoakan keselamatan angkatan tentera kita, berdoa untuk penyelesaian konflik yang cepat dan berdoa agar kerosakan berlaku pada tahap minima di kalangan kaum awam di kedua-dua belah pihak (Filipi 4:6-7).



Balik ke laman bahasa Melayu

Apakah yang dikatakan Alkitab tentang peperangan?