Adakah Alkitab membenarkan perhambaan?




Soalan: Adakah Alkitab membenarkan perhambaan?

Jawapan: Terdapat kecenderungan untuk melihat perhambaan sebagai suatu perkara di masa lampau. Tetapi sekarang ini dianggarkan ada lebih daripada 12 juta orang di dunia yang tertakluk kepada pelbagai bentuk perhambaan seperti kerja paksa, perniagaan seks, hamba sebagai harta yang diwariskan, dsb. Sebagai orang-orang yang telah dibebaskan dari perhambaan dosa, pengikut-pengikut Kristus harus berjuang untuk menghentikan perhambaan manusia yang ada di dalam dunia pada hari ini. Pertanyaan yang timbul adalah mengapa Alkitab tidak bercakap dengan tegas menentang perhambaan? Mengapakah Alkitab seolah-olah menyokong amalan perhambaan manusia?

Alkitab secara khusus tidak mengecam amalan perhambaan. Ia memberikan garispanduan layanan yang patut diberikan kepada hamba-hamba (Ulangan 15:12-15; Efesus 6:9; Kolose 4:1), tetapi tidak mengharamkan perhambaan sama sekali. Ramai melihat keadaan ini sebagai kebenaran Alkitab terhadap semua bentuk perhambaan. Apa yang gagal dimengerti oleh ramai orang adalah tentang sifat perhambaan dalam zaman Alkitab yang sangat jauh berbeza dengan amalan perhambaan yang diamalkan di beberapa bahagian dunia dalam beberapa abad kebelakangan ini. Perhambaan dalam Alkitab tidak didasarkan semata-mata pada bangsa. Orang-orang tidak diperhambakan berdasarkan kerakyatan atau warna kulit mereka. Dalam zaman Alkitab perhambaan lebih bersifat status sosial. Orang-orang menjual diri mereka sebagai hamba apabila mereka tidak dapat membayar hutang mereka atau mencari nafkah untuk menanggung keluarga mereka. Dalam zaman Perjanjian Baru kadangkala dokter,peguam dan ahli politik merupakan hamba-hamba kepada seseorang. Beberapa orang sebenarnya memilih untuk menjadi hamba supaya apa yang mereka perlukan dapat dipenuhi oleh tuan mereka.

Perhambaan dalam beberapa abad lampau sering berdasarkan pada warna kulit. Di Amerika Syarikat, ramai orang kulit hitam dianggap hamba kerana bangsa mereka.Ramai pemilik hamba benar-benar percaya orang berkulit hitam sebagai manusia yang lebih rendah. Alkitab dengan jelas sangat mengecam perhambaan berdasarkan perkauman. Pertimbangkan perhambaan yang dialami bangsa Ibrani ketika mereka berada di Mesir. Orang Ibrani menjadi hamba bukan kerana pilihan, tetapi kerana mereka berbangsa Ibrani (Keluaran 13:14). Tulah yang dicurahkan Allah di Mesir menunjukkan bagaimana perasaan Tuhan tentang perhambaan perkauman (Keluaran 7-11). Jadi Tuhan memang mengecam beberapa bentuk perhambaan. Pada masa yang sama Alkitab seperti membenarkan bentuk perhambaan yang lain. Isu penting yang perlu dilihat di sini adalah perhambaan yang dibenarkan Alkitab sama sekali tidak mirip dengan perhambaan perkauman yang melanda dunia kita dalam beberapa abad kebelakangan ini.

Sebagai tambahan, Perjanjian Lama dan Perjanjian Baru kedua-duanya mengecam amalan “mencuri-manusia” yang berlaku di Afrika dalam abad ke 19. Orang-orang Afrika dikumpul oleh pemburu-hamba, dijual kepada pedagang-hamba dan dibawa ke Dunia Baru untuk bekerja di lading-ladang dan penternakan. Amalan ini sangat menjijikkan di hadapan Allah. Bahkan, hukuman untuk jenayah semacam itu dalam Hukum Musa adalah maut : “Siapa yang menculik seorang manusia, baik ia telah menjualnya, baik orang itu masih terdapat padanya, ia pasti dihukum mati.” (Keluaran 21:16) Demikian juga dalam Perjanjian Baru, penculik/penjual-hamba disenaraikan bersama mereka yang “tidak kudus dan berdosa” dan diletakkan dalam kategori yang sama dengan mereka yang membunuh ibu atau ayah, pembunuh, penzina dan cabul serta penipu (1 Timotius 1:8-10).

Satu lagi perkara penting iaitu tujuan Alkitab adalah untuk menunjukkan jalan menuju keselamatan dan bukan hendak mereformasikan masyarakat. Alkitab sering mendekati isu-isu dari bahagian dalaman dan membawanya ke luar. Maksudnya ialah, jika seseorang mengalami kasih, rahmat dan kasih karunia Allah dengan menerima keselamatan, Allah akan mereformasi jiwanya, menukar cara orang itu berfikir dan bertindak. Seseorang yang telah mengalami keselamatan daripada Tuhan dan kebebasan dari perhambaan dosa dan Tuhan telah mereformasikan jiwanya akan mendapati bahawa memperhambakan seorang manusia yang lain adalah salah. Seseorang yang sungguh-sungguh telah mengalami kemurahan Tuhan akan berlaku murah hati juga terhadap orang lain. Itu akan menjadi resepi Alkitab untuk menamatkan perhambaan.



Balik ke laman bahasa Melayu

Adakah Alkitab membenarkan perhambaan?