Apakah yang dikatakan Alkitab tentang perkahwinan?




Soalan: Apakah yang dikatakan Alkitab tentang perkahwinan?

Jawapan: Ini satu pertanyaan yang sukar dijawab sebab Alkitab tidak ada menyebut tentang pada tahap mana Tuhan mengatakan pasangan sebagai ‘sudah berkahwin’. Terdapat tiga pandangan umum yang utama: 1) Tuhan menganggap pasangan sudah berkahwin apabila mereka telah berkahwin menurut undang-undang. 2) Pasangan telah berkahwin di mata Tuhan apabila mereka telah melangsungkan satu upacara perkahwinan yang rasmi. 3) Tuhan menganggap pasangan telah berkahwin apabila perkahwinan disempurnakan dengan hubungan seks. Mari kita lihat satu persatu daripada pandangan ini dan memperhati kekuatan dan kelemahan yang ada pada tiap-tiap satu.

1) Tuhan menganggap pasangan telah berkahwin setelah mereka berkahwin menurut undang-undang. Ayat yang diambil untuk menyokong pandangan ini adalah ayat yang menasihatkan kita untuk tunduk kepada kerajaan (Roma 13:1-7; 1 Petrus 2:17). Hujah ini berkata, sekiranya pihak kerajaan memerlukan satu bentuk “kertas kerja” untuk diselesaikan sebelum perkahwinan itu diakui, pasangan perlulah tunduk kepada semua proses yang dituntut oleh pihak kerajaan. Memang sangat Alkitabiah bagi pasangan untuk tunduk kepada kerajaan asalkan tuntutan yang dikenakan ke atas mereka masuk akal dan tidak bertentangan dengan Firman Tuhan. Roma 13:1-2 berkata, “Tiap-tiap orang harus takluk kepada pemerintah yang di atasnya, sebab tidak ada pemerintah, yang tidak berasal dari Allah; dan pemerintah-pemerintah yang ada, ditetapkan oleh Allah. Sebab itu barangsiapa melawan pemerintah, ia melawan ketetapan Allah dan siapa yang melakukannya, akan mendatangkan hukuman atas dirinya.”

Terdapat beberapa kelemahan dan masalah yang diakibatkan oleh pandangan ini. Pertama, terdapat begitu banyak perkahwinan sebelum mana-mana kerajaan dibentuk. Selama ribuan tahun orang telah berkahwin tanpa memerlukan lesen perkahwinan. Kedua, sekarang ini juga terdapat negara-negara di mana kerajaannya tidak mengenal perkahwinan dan tidak ada tuntutan perundangan terhadap perkahwinan. Ketiga, terdapat kerajaan yang meletakkan syarat-syarat tidak Alkitabiah ke atas perkahwinan sebelum perkahwinan itu dapat diakui oleh pihak kerajaan. Sebagai contoh, terdapat negara-negara di mana perkahwinan harus diadakan dalam Gereja Katolik, mengikut ajaran Katolik dan diperhatikan oleh seorang rahib Katolik. Bagi mereka yang tidak bersetuju dengan Gereja Katolik dan pemahaman Katolik yang mengatakan perkahwinan sebagai satu sakramen, maka berkahwin dalam Gereja Katolik adalah tidak Alkitabiah.

2) Pasangan telah berkahwin di mata Tuhan apabila mereka telah melangsungkan satu upacara perkahwinan yang rasmi. Ada banyak persamaan dalam banyak budaya di mana seorang bapa memberikan anaknya dalam satu upacara perkahwinan, yang diertikan beberapa penterjemah seperti Tuhan membawa Hawa kepada Adam (Kejadian 2:22) dan Tuhan telah memperhatikan “upacara” perkahwinan yang pertama itu. Yesus tidak akan hadir ke pesta yang serupa itu sekiranya dia tidak bersetuju dengan apa yang sedang berlaku. Kehadiran Yesus dalam satu upacara perkahwinan bukan semestinya memberikan petanda bahawa Allah mengkehendaki satu majlis perkahwinan, tetapi dengannya kita boleh melihat bahawa satu upacara perkahwinan dapat diterima di mata Tuhan. Hampir setiap budaya manusia dalam sejarah manusia mempunyai satu bentuk upacara perkahwinan yang formal. Dalam setiap kebudayaan terdapat satu acara, tindakan, perjanjian atau pengisytiharan yang dikenali sebagai pengisytiharan pasangan lelaki dan wanita yang akan berkahwin.

3) Tuhan menganggap pasangan telah berkahwin apabila perkahwinan disempurnakan dengan hubungan seks. Terdapat pendapat yang mengatakan apabila seorang lelaki dan seorang wanita telah melakukan hubungan seks maka Tuhan melihat mereka sebagai sudah berkahwin. Pandangan seperti ini tidak Alkitabiah. Dasar bagi pandangan ini adalah hubungan seksual merupakan kepenuhan tertinggi kepada prinsip “menjadi satu daging” (Kejadian 2:24; Matius 19:5; Efesus 5:31). Dalam pengertian ini hubungan seks merupakan “meterai” terakhir ke atas perjanjian perkahwinan. Bagaimanapun, sekiranya sepasang suami isteri telah sah berkawin dari segi undang-undang tetapi atas sebab-sebab tertentu tidak dapat mengadakan hubungan seks, pasangan itu masih dikatakan sebagai pasangan yang telah berkahwin.

Pasangan yang telah melakukan hubungan seks tetapi belum memenuhi segi perkahwinan yang lain tidak dapat dikatakan telah berkahwin secara Alkitabiah. Ayat-ayat Firman Tuhan seperti 1 Korintus 7: 2 memberitahu bahawa hubungan seks sebelum berkahwin sebagai tidak bermoral. Sekiranya dengan melakukan hubungan seks dapat membolehkan mana-mana pasangan disebut sebagai pasangan suami isteri maka ianya tidak dapat disebut sebagai perbuatan tidak bermoral, sebab pasangan itu akan dianggap sudah berkahwin sebaik saja mereka mengadakan hubungan seks. Tidak ada dasar Alkitabiah untuk pasangan belum berkahwin untuk mengadakan hubungan seks kemudian mengisytiharkan diri mereka sebagai sudah berkahwin. Perbuatan ini akan mengisytiharkan semua hubungan seks sebelum berkahwin yang akan datang sebagai bermoral dan menghormati Tuhan.

Jadi apakah yang dikatakan sebagai perkahwinan di mata Tuhan? Prinsip-prinsip yang berikut perlu diikuti: 1) Asalkan tuntutan perkahwinan itu berpatutan dan tidak bertentangan dengan Alkitab, pasangan yang hendak berkahwin perlu mendapatkan apa juga perakuan dari pihak kerajaan. 2) Pasangan harus mengikuti apa juga amalan budaya dan keluarga yang mengakui satu pasangan sebagai “berkahwin secara rasmi.” 3) Sekiranya dapat, pasangan perlu menyempurnakan perkahwinan itu secara seksual untuk memenuhi prinsip “satu daging”.

Bagaimana sekiranya salah satu atau lebih daripada prinsip-prinsip ini tidak diikuti?Adakah pasangan masih dianggap telah berkahwin di mata Tuhan? Akhirnya itu merupakan urusan pasangan dengan Tuhan. Tuhan mengenal hati kita (1 Yohanes 3:20). Tuhan tahu perbezaan di antara hubungan perkahwinan yang benar dengan perkahwinan yang sekadar membenarkan hubungan seksual yang tidak bermoral.



Balik ke laman bahasa Melayu

Apakah yang dikatakan Alkitab tentang perkahwinan?