Adakah persekutuan doa lebih penting?




Soalan: Adakah persekutuan doa lebih penting? Adakah persekutuan doa lebih berkuasa berbanding berdoa seorang diri?

Jawapan: Persekutuan doa merupakan bahagian yang penting dalam kehidupan sebuah gereja, ia sejalan dengan penyembahan, pengajaran sihat, perjamuan, dan persekutuan. Gereja yang awal sering berkumpul untuk mempelajari ajaran rasul-rasul, memecahkan roti dan berdoa bersama-sama (Kisah 2:42). Apabila kita berdoa dengan orang percaya yang lain, kesannya sangat positif. Persekutuan doa membangun dan menyatukan kita apabila berkongsi iman yang sama. Roh Kudus yang diam dalam setiap orang percaya membuat hati bersukacita apabila mendengar puji-pujian kepada Tuhan sehingga menyatukan kita dalam satu ikatan unik yang tidak dapat ditemui di tempat lain dalam kehidupan ini.

Mereka yang bergumul dan terbeban dengan bebanan hidup akan sangat terdorong apabila mendengar orang lain mengangkat mereka di dalam doa ke taktha kasih karunia Tuhan. Di dalam persekutuan doa juga terbina kasih dan rasa prihatin terhadap orang lain apabila mendoakan mereka. Persekutuan doa merupakan pantulan keadaan hati orang-orang yang terlibat dalamnya. Kita datang kepada Tuhan dalam kerendahan hati (Yakobus 4:10), kesetiaan (Mazmur 145:18), ketaatan (1 Yohanes 3:21-22), dengan ucapan syukur (Filipi 4:6) dan dengan penuh keberanian (Ibrani 4:16). Sedihnya, persekutuan doa juga boleh dijadikan tempat di mana orang-orang bukan mengarahkan kata-kata mereka kepada Tuhan melainkan kepada orang-orang yang mendengar mereka. Yesus memberi amaran terhadap keadaan itu dalam Matius 6:5-8. Dalam bahagian ini Dia menasihatkan kita agar jangan berlagak, panjang lebar, atau munafik sewaktu berdoa. Dia menasihatkan agar kita berdoa secara rahsia di dalam kamar tertutup bagi mengelak kemunafikan.

Alkitab tidak berkata persekutuan doa “lebih berkuasa” berbanding berdoa seorang diri untuk menggerakkan tangan Tuhan. Terlalu ramai orang Kristian menyamakan doa sebagai “mendapatkan sesuatu daripada Tuhan.” Pertemuan persekutuan doa setakat menjadi waktu untuk menyebut senarai permintaan kita. Bagaimanapun doa Alkitabiah mempunyai banyak segi. Doa melibatkan seluruh keinginan kita untuk masuk ke dalam persekutuan penuh sedar dan intim dengan Tuhan. Bila berfikir tentang Tuhan yang mahu menyendengkan telinga kepada mahluk-mahluk-Nya itu akan menyebabkan pujian dan pemujaan tercurah dengan berlimpah (Mazmur 27:4; 63:1-8), mengakibatkan pertaubatan dan pengakuan (Mazmur 51; Lukas 18:9-14), meluahkan doa kesyukuran (Filipi 4:6; Kolose 1:12) dan mendorong doa syafaat yang ikhlas untuk orang lain (2 Tesalonika 1:11; 2:16).

Doa adalah bekerjasama dengan Tuhan untuk melaksanakan rancangan-Nya dan bukan memberitahu apa kehendak kita kepada-Nya. Apabila kita melepaskan keinginan kita untuk tunduk kepada Dia yang lebih mengetahui keadaan kita daripada kita sendiri dan tahu “apa yang anda perlu sebelum memintanya” (Matius 6:8), maka doa kita mencapai tahap tertinggi. Doa-doa yang dinaikkan dalam sikap penuh penyerahan kepada kehendak ilahi akan sentiasa dijawab secara positif samada didoakan oleh hanya seorang atau seribu orang.

Pendapat yang mengatakan persekutuan doa lebih dapat menggerakkan tangan Tuhan datang dari salah-tafsir Matius 18:19-20, “Sebab di mana dua atau tiga orang berkumpul dalam nama-Ku, di situ Aku ada di tengah-tengah mereka.” Ayat-ayat ini sebahagian daripada Firman Tuhan yang bercakap tentang pendisiplinan seorang anggota gereja. Menafsirkan ayat ini sebagai sekeping cek kosong untuk mendapatkan apa saja yang boleh diminta daripada Tuhan, tidak memenuhi konteks pendisiplinan gereja dan menyangkal bahagian Firman yang lain terutama sekali yang bercakap tentang kedaulatan Allah.

Sebagai tambahan, kepercayaan apabila “dua atau tiga orang berkumpul” maka secara automatik ada kuasa sakti yang berlaku kepada doa kita, tidak dapat disokong oleh Alkitab. Memang benar Yesus hadir apabila ada dua atau tiga orang berdoa, tetapi Dia juga hadir apabila seorang percaya berdoa seorang diri walaupun terpisah beribu batu jauhnya daripada orang lain. Persekutuan doa itu penting sebab ia membentuk kesatuan (Yohanes 17:22-23), merupakan cara utama orang-orang percaya saling mendorong satu dengan yang lain (1 Tesalonika 5:11) dalam kasih dan perbuatan baik (Ibrani 10:24).



Balik ke laman bahasa Melayu

Adakah persekutuan doa lebih penting? Adakah persekutuan doa lebih berkuasa berbanding berdoa seorang diri?