Soalan
Apakah Empat hukum rohani?
Jawapan
Empat hukum rohani ialah cara untuk menjelaskan berita baik penyelamatan melalui kepercayaan pada Yesus Kristus kepada orang lain. Kaedah ini ialah satu cara yang mudah untuk mengatur maklumat-maklumat penting dalam Berita Baik menjadi empat titik rujukan yang mustahak.
Hukum rohani pertama ialah, “Tuhan mengasihi kamu dan mempunyai satu rancangan yang baik untuk hidup kamu.” Yohanes 3:16 memberitahu kita, “Allah sangat mengasihi orang di dunia ini sehingga Dia memberikan Anak-Nya yang tunggal, supaya setiap orang yang percaya kepada Anak itu tidak binasa tetapi beroleh hidup sejati dan kekal.” Yohanes 10:10 menerangkan sebab-sebab Yesus datang ke dunia ini, “Tetapi Aku datang supaya manusia mendapat hidup iaitu hidup yang kelimpahan.” Apa yang menghalang kita daripada kasih Tuhan? Apa yang menyekat kita daripada mendapat hidup yang berlimpahan?
Hukum rohani kedua ialah, “Semua manusia dicemar oleh dosa maka terpisah daripada Tuhan. Akibatnya, kita tidak mengetahui rancangan Tuhan yang baik bagi kita.” Roma 3:23 mengesahkan fakta ini, “Semua orang sudah berdosa dan jauh daripada Allah yang menyelamatkan mereka.” Roma 6:23 menunjukkan akibat buruk dosa, “Kematian adalah upah dosa.” Tuhan mencipta kita supaya mempunyai hubungan yang baik dengan-Nya. Tetapi, manusia membawa dosa ke dunia ini, lalu terpisah dan bermusuhan dengan Tuhan. Persahabatan antara manusia dengan Tuhan telah dimusnahkan oleh dosa manusia. Apakah cara penyelesaiannya?
Hukum rohani yang ketiga ialah, “Yesus Kristus ialah penyelesaian yang disediakan oleh Tuhan bagi dosa kita. Melalui Yesus Kristus, dosa kita akan diampuni dan persahabatan dengan Tuhan dapat dipulihkan.” Roma 5:8 menyatakan, “Tetapi Allah telah menunjukkan betapa besarnya kasih-Nya kepada kita, kerana Kristus mati bagi kita semasa kita masih berdosa.” 1 Korintus 15:3-4 memberitahu kita segala yang perlu dilakukan dan dipercayai agar dapat diselamatkan, “Apa yang aku sampaikan kepada kamu adalah apa yang sudah aku terima. Inilah perkara terpenting: Kristus mati kerana dosa kita, sesuai dengan yang tertulis di dalam AlKitab. Hal ini juga tertulis di dalam Alkitab: Dia dikuburkan dan pada hari ketiga Dia dihidupkan semula.” Yesus mengumumkan bahawa Dialah jalan tunggal untuk mendapat penyelamatan di Yohanes 14:6, “Yesus menjawab, “Akulah jalan untuk mengenal Allah dan untuk mendapatkan hidup. Tidak seorang pun dapat datang kepada Bapa kecuali melalui Aku.” Bagaimana saya boleh mendapat hadiah yang terbaik ini?
Hukum rohani yang keempat ialah, “Kita mesti percaya kepada Yesus Kristus sebagai Penyelamat agar mendapat hadiah penyelamatan dan mengetahui rancangan Tuhan yang baik dalam hidup kita.” Yohanes 1:12 menerangkan hakikat ini, “Tetapi kepada mereka yang menyambut Dia dan percaya kepada-Nya, mereka diberikan-Nya hak menjadi anak Allah.” Kisah Para Rasul 16:31 menjelaskan, “Percayalah kepada Tuhan Yesus, lalu kamu akan diselamatkan – kamu dan keluargamu!” Kita hanya boleh diselamatkan dengan rahmat Allah, melalui kepercayaan kepada Yesus (Efesus 2:8-9).
Jika kamu hendak percaya kepada Yesus Kristus sebagai Penyelamat, berdoalah kepada Tuhan seperti berikut. Melafazkan kata-kata ini tidak akan menyelamatkan kamu, tetapi hanya kepercayaan kepada Kristus yang akan menyelamatkan kamu! Doa ini hanya satu cara yang mudah untuk menunjukkan kepercayaan kamu dan mengucapkan terima kasih kepada Tuhan kerana rahmat penyelamatannya. "Tuhan, saya mengaku bahawa saya sudah berdosa terhadap Kamu dan patut dihukum. Tetapi Yesus Kristus telah menggantikan saya bagi menerima hukuman itu supaya saya dapat diampuni melalui iman dalam Kristus. Saya akan meninggalkan dosa saya dan percaya Kristus boleh memberi saya pengampunan dosa. Terima kasih Tuhan kerana rahmat dan pengampunan kamu – iaitu hadiah kehidupan akhirat! Amen!"
Adakah anda sudah membuat keputusan untuk menerima Kristus selepas membaca laman ini? Jika ya, sila tekan butang “Saya telah menerima Kristus hari ini” di bawah.
English
Apakah Empat hukum rohani?