settings icon
share icon
Soalan

Apakah yang dikatakan Alkitab tentang perjudian? Adakah berjudi itu dosa?

Jawapan


Definisi perjudian adalah “mengambil risiko kewangan dalam usaha melipatgandakan wang di atas sesuatu yang bertentangan dengan kemungkinan”. Secara khusus Alkitab tidak mengecam perjudian, pertaruhan atau loteri. Bagaimanapun Alkitab menasihatkan agar kita menjauhkan diri daripada cinta kepada wang (1 Timotius 6:10; Ibrani 13:5). Firman Tuhan juga mendorong agar kita menjauhkan diri dari usaha-usaha “mahu cepat kaya” (Amsal 13: 11, 23:5; Pengkhotbah 5:10). Perjudian jelas sekali berfokus kepada cinta wang dan tidak dapat dinafikan ia menggoda manusia dengan janji dapat meraih kekayaan dengan cepat dan melalui jalan mudah.

Apa salahnya dengan berjudi? Perjudian adalah rumit sebab ia dilakukan sekali-sekala dan secara sederhana. Ia membazir wang tetapi tidak semestinya sesuatu yang “jahat’. Manusia membazirkan wang dalam pelbagai jenis kegiatan. Berjudi tidak melebihi bahkan lebih murah berbanding menonton wayang gambar (dalam banyak kasus), makan makanan mahal yang tidak diperlukan atau membeli barang yang tidak berharga. Pada masa yang sama, kenyataan wang dibazirkan ke atas benda-benda lain tidak membenarkan perjudian. Wang tidak patut dibazir. Wang lebih sepatutnya ditabung untuk keperluan masa depan atau diberikan kepada pekerjaan Tuhan – bukan diperjudikan.

Perjudian dalam Alkitab: Sementara Alkitab tidak ada menyebut tentang perjudian, ia ada menyebut tentang permainan “nasib” atau “peluang”. Sebagai contoh, pembuangan undi diamalkan dalam kitab Imamat bagi memilih di antara dua ekor kambing jantan. Yosua membuang undi untuk menentukan pembahagian tanah di antara suku-suku Israel. Nehemiah membuang undi untuk menentukan siapa yang akan tinggal di dalam tembok Yerusalem dengan siapa yang tidak. Para murid membuang undi untuk menentukan pengganti Yudas. Amsal 16:33 berkata, “Undi dibuang di pangkuan, tetapi setiap keputusannya berasal dari pada TUHAN”. Tidak terdapat dalam Alkitab di mana perjudian atau “nasib” digunakan sebagai hiburan atau dinyatakan sebagai amalan yang dapat diterima untuk pengikut-pengikut Tuhan.

Kasino dan loteri: Kasino menggunakan pelbagai skim perniagaan untuk menarik kaki judi supaya mengambil risiko kewangan sebanyak yang mungkin. Kasino juga menawarkan minuman keras yang murah atau percuma yang mana mendorong kepada kemabukan dan mengurangkan daya fikir untuk membuat pilihan-pilihan yang bijak. Segala sesuatu di kasino telah diatur sebegitu rupa untuk mengambil sebanyak mungkin wang dan tidak memberi apa-apa kecuali rasa nikmat yang kosong dan segera berlalu. Loteri berusaha menampakkan pertubuhan mereka sebagai satu cara untuk mendanai pendidikan dan program-program sosial. Bagaimanapun, hasil penyelidikan menunjukkan golongan yang terlibat dengan loteri adalah golongan yang hampir tidak mampu untuk membelanjakan kewangan ke atas tiket loteri. Tarikan untuk “menjadi cepat kaya” merupakan pencobaan yang terlalu kuat terhadap mereka yang terdesak. Kebarangkalian untuk menang adalah terlalu kecil yang akhirnya membawa kehancuran dalam kehidupan ramai orang.

Mengapa loteri tidak menyenangkan Tuhan: Ramai orang yang bermain loteri atau berjudi mengaku berniat hendak memberi kepada pekerjaan Tuhan atau ke tujuan murni yang lain. Sementara ini merupakan motif yang baik,kenyataan membuktikan bahawa tidak ramai pemenang dalam perjudian yang telah menggunakan hasil kemenangannya untuk tujuan-tujuan yang baik. Hasil penyelidikan menunjukkan kepada kita bahawa sebahagian besar dari pemenang-pemenang loteri berada dalam keadaan kewangan yang jauh lebih parah beberapa tahun selepas memenangi jakpot berbanding tahun-tahun sebelumnya. Tidak ramai, kalau ada pun, yang sungguh-sungguh memberikan wang kepada tujuan yang baik. Lagipun, Tuhan tidak memerlukan wang kita untuk mendanai misi-Nya dalam dunia ini. Amsal 13: 11 berkata, “Harta yang cepat diperoleh akan berkurang, tetapi siapa mengumpulkan sedikit demi sedikit, menjadi kaya”. Tuhan berdaulat, Dia akan menyediakan keperluan gereja melalui saluran-saluran yang jujur. Adakah Tuhan akan dihormati bila menerima persembahan wang hasil dadah atau wang yang telah dirompak daripada bank? Tuhan juga tidak mahu menerima wang yang telah “dicuri” daripada golongan miskin oleh pencobaan kekayaan.

Kita diberitahu dalam 1 Timotius 6: 10, “Karena akar segala kejahatan ialah cinta wang. Sebab oleh memburu wanglah beberapa orang telah menyimpang dari iman dan menyiksa dirinya dengan berbagai-bagai duka.” Ibrani 13: 5 menyatakan, “Janganlah kamu menjadi hamba wang dan cukupkanlah dirimu dengan apa yang ada padamu. Karena Allah telah berfirman: "Aku sekali-kali tidak akan membiarkan engkau dan Aku sekali-kali tidak akan meninggalkan engkau." Matius 6:24 mengisytiharkan, “Tak seorang pun dapat mengabdi kepada dua tuan. Karena jika demikian, ia akan membenci yang seorang dan mengasihi yang lain, atau ia akan setia kepada yang seorang dan tidak mengindahkan yang lain. Kamu tidak dapat mengabdi kepada Allah dan kepada Mamon."

English



Balik ke laman bahasa Melayu

Apakah yang dikatakan Alkitab tentang perjudian? Adakah berjudi itu dosa?
Kongsi halaman ini: Facebook icon Twitter icon Pinterest icon Email icon
© Copyright Got Questions Ministries