settings icon
share icon
Soalan

Di manakah Yesus selama tiga hari di antara kematian dan kebangkitan-Nya?

Jawapan


1 Petrus 3: 18-19 menyatakan, “Sebab juga Kristus telah mati sekali untuk segala dosa kita, Ia yang benar untuk orang-orang yang tidak benar, supaya Ia membawa kita kepada Allah; Ia, yang telah dibunuh dalam keadaan-Nya sebagai manusia, tetapi yang telah dibangkitkan menurut Roh,dan di dalam Roh itu juga Ia pergi memberitakan Injil kepada roh-roh yang di dalam penjara.”

Ungkapan “di dalam Roh” dalam ayat 18 mempunyai pembentukan yang samadengan ungkapan “manusia”. Jadi cara yang terbaik adalah mengkaitkan perkataan “roh” kepada lingkungan yang sama dengan perkataan “manusia”. Istilah manusia dan roh dalam ayat 18 merujuk kepada tubuh dan roh Kristus. Kata-kata “dibangkitkan menurut Roh” menunjuk kepada fakta penanggungan dosa Kristus telah mengakibatkan perpisahan di antara daging dan roh seperti yang terdapat dalam Matius 27:46 dan Roma 1:3-4, dan bukan di antara tubuh Kristus dengan Roh Kudus. Apabila penebusan Kristus terhadap dosa selesai, roh-Nya kembali kepada persekutuan yang tadinya telah terhenti.

1 Petrus 3: 18-22 menggambarkan hubungan yang perlu di antara penderitaan Kristus (ayat 18) dan pemuliaan-Nya (ayat 22). Hanya Petrus memberi maklumat terperinci tentang apa yang berlaku di antara dua peristiwa ini. Erti sebutan “memberitakan Injil” dalam ayat 19 tidak sama dengan pengertian pemberitaan Injil yang biasa digunakan dalam Perjanjian Baru. Maksud kata-kata ini adalah untuk menyampaikan satu perkhabaran. Yesus telah menderita dan mati di kayu salib, tubuh dan roh-Nya mati bila Dia dijadikan dosa. Tetapi Roh-Nya telah dihidupkan dan Dia menyerahkannya kepada Bapa. Menurut Petrus, di suatu titik waktu di antara kematian dan kebangkitan-Nya Yesus telah membuat pengisytiharan istimewa berhubung kemenangan-Nya kepada “roh-roh yang di dalam penjara.”

Petrus merujuk kepada manusia sebagai “jiwa-jiwa” dan bukannya “roh-roh” (3:20). Dalam Perjanjian Baru, perkataan “roh-roh” digunakan untuk bercakap tentang malaikat-malaikat atau “setan-setan”, dan bukannya tentang manusia; dan ayat 22 seperti membawa pengertian ini. Dalam Alkitab juga tidak terdapat bahagian yang mengatakan Yesus telah pergi melawat ke neraka. Kisah 2: 31 berkata Dia telah pergi ke dunia orang mati (hades), tetapi tempat ini bukan neraka. Dunia orang mati (hades) merujuk kepada tempat sementara di mana orang-orang yang telah mati diletakkan sementara menantikan hari kebangkitan. Wahyu 20:11-15 memberi perbezaan yang jelas di antara keduanya. Neraka merupakan tempat penghukuman kekal bagi orang-orang yang terhilang. Dunia orang mati (hades) adalah tempat sementara.

Tuhan kita telah menyerahkan Roh-Nya kepada Bapa, mati, dan suatu ketika di antara waktu kematian dan kebangkitan-Nya, telah melawat ke dunia orang mati di mana Dia telah menyampaikan satu perkhabaran kepada mahluk-mahluk roh (barangkali roh-roh jahat; lihat Yudas 6) yang mana ada kaitan dengan zaman sebelum air bah di zaman Nuh. Ayat 20 mengatakannya dengan jelas. Petrus tidak memberitahu kita apa yang telah diberitakan-Nya kepada roh-roh yang berada dalam penjara ini tetapi ia bukan pengkhabaran tentang keselamatan memandangkan malaikat-malaikat tidak dapat diselamatkan (Ibrani 2:16). Ia mungkin suatu pengisytiharan kemenangan ke atas Iblis dan konco-konconya (1 Petrus 3;22, Kolose 2;15). Efesus 4: 8-10 juga menunjukkan yang Kristus telah pergi ke “Firdaus” (Lukas 16:20; 23:43) dan membawa semua orang - iaitu orang-orang yang telah percaya kepada-Nya sebelum kematian-Nya di kayu salib - ke syurga. Petikan ini tidak memberi banyak maklumat tentang apa yang telah berlaku, tetapi kebanyakan cendikiawan Alkitab bersetuju bahawa inilah yang dimaksudkan bila dikatakan “Ia membawa tawanan-tawanan”.

Semua ini mengatakan, Alkitab tidak begitu jelas dengan apa yang telah Yesus lakukan selama tiga hari di antara kematian dan kebangkitan-Nya. Namun Ia ditunjukkan sebagai telah pergi memberitakan kemenangan ke atas malaikat-malaikat yang telah jatuh dan orang-orang yang tidak percaya. Apa yang kita boleh pastikan adalah Yesus tidak memberikan kepada manusia peluang kedua untuk mendapatkan keselamatan. Alkitab memberitahu, kita akan berhadapan dengan penghakiman selepas kematian (Ibrani 9:27), bukan peluang yang kedua. Sebenarnya tiada jawaban yang jelas untuk menjawab apa yang Yesus telah lakukan pada masa di antara kematian dan kebangkitan-Nya. Mungkin ini salah satu misteri yang akan difahami sebaik saja kita mencapai kemuliaan.

English



Balik ke laman bahasa Melayu

Di manakah Yesus selama tiga hari di antara kematian dan kebangkitan-Nya?
Kongsi halaman ini: Facebook icon Twitter icon Pinterest icon Email icon
© Copyright Got Questions Ministries