Soalan
Apakah yang diajarkan Alkitab tentang Tritunggal?
Jawapan
Perkara yang paling sulit tentang konsep Tritunggal orang Kristian adalah tidak ada jalan yang cukup bagus untuk menjelaskannya. Konsep tritunggal mustahil difahami oleh manusia manapun, apalagi hendak menjelaskannya. Tuhan itu jelas jauh lebih besar daripada kita oleh yang demikian kita tidak boleh berharap untuk dapat memahami Dia dengan sepenuhnya. Alkitab mengajar bahawa Bapa itu Tuhan, Yesus itu Tuhan dan Roh Kudus itu Tuhan. Alkitab juga mengajar bahawa hanya ada satu Tuhan. Walaupun kita dapat memahami beberapa fakta tentang perhubungan di antara peribadi yang berbeza pada Tritunggal, akhirnya ia tidak dapat difahami fikiran manusia dengan sepenuhnya.
Dalam menyelidiki tajuk pembelajaran ini kita perlu ingat bahawa istilah “Tritunggal” itu tidak ada digunakan dalam Alkitab. Istilah ini digunakan dalam usaha menjelaskan Tuhan yang bersifat tiga dalam satu iaitu kenyataan tentang terdapatnya 3 Peribadi bersifat sama-wujud, sama-kekal yang adalah Tuhan. Perlu dimengerti bahawa konsep ini sama sekali bukan mengatakan wujudnya 3 Tuhan. Tritunggal adalah satu Tuhan yang terdiri daripada 3 Peribadi. Tidak ada salahnya menggunakan istilah “Tritunggal” walaupun istilah ini tidak terdapat dalam Alkitab. Lebih singkat menggunakan istilah “Tritunggal” berbanding “3 wujud-bersama, kekal bersama yang adalah satu Tuhan”. Sekiranya penggunaan istilah tritunggal ini menjadi masalah kepada anda, maka pertimbangan seperkara ini: perkataan ‘datuk’ juga tidak digunakan dalam Alkitab. Tapi kita tahu bahawa terdapat ramai datuk dalam Alkitab. Abraham merupakan datuk kepada Yakub. Jadi jangan merasa janggal terhadap istilah “tritunggal” itu sendiri. Apa yang sangat mustahak adalah konsep yang disampaikan oleh istilah “tritunggal” memang terdapat dalam Alkitab. Setelah selesai dengan pengenalan, berikut merupakan ayat-ayat Firman yang selalu diberikan dalam perbincangan berhubung Tritunggal.
1) Ada satu Tuhan: Ulangan 6:4, 1 Korintus 8: 4; Galatia 3:20, 1 Timotius 2: 5
2) Tritunggal itu terdiri dari Tiga Peribadi: Kejadian 1:1; 1:26; 3:22; 11:7; Yesaya 6:8; 48:16; 61:1; Matius 3:16-17; Matius 28:19; 2 Korintus 13:14. Dalam Perjanjian Lama,pengetahuan kitab Ibrani sangat membantu. Dalam Kejadian 1:1, sebutan jamak “Elohim” digunakan. Tidak dapat dipertikai kata “Elohim” dan “kita” sebagai merujuk kepada lebih daripada dua. Dalam bahasa, terdapat hanya dua bentuk sebutan untuk bilangan iaitu tunggal atau jamak. Dalam bahasa Ibrani terdapat tiga bentuk sebutan: tunggal, berganda dan jamak. Berganda hanya untuk dua. Dalam bahasa Ibrani bentuk berganda digunakan untuk sesuatu yang berpasangan seperti pada mata,telinga dan tangan. Istilah “Elohim” dan “kita” adalah bentuk jamak – lebih daripada dua – dan pasti merujuk kepada lebih daripada tiga (Bapa, Anak Roh Kudus).
Dalam Yesaya 48:16 dan 61:1, Anak sedang bercakap sambil merujuk kepada Bapa dan Roh Kudus. Bandingkan Yesaya 61:1 dengan Lukas 4:14-19 bagi melihat bahawa Anak sedang berkata-kata. Matius 3:16-17 menceritakan peristiwa pembaptisan Yesus. Apa yang dapat dilihat di sini adalah Roh Kudus turun kepada Anak sementara Bapa mengisytiharkan rasa senang-Nya terhadap Anak. Matius 28:19 dan 2 Korintus 13:14 adalah contoh-contoh untuk 3 peribadi yang berbeza dalam Tritunngal.
3) Anggota Tritunggal dibezakan di antara satu dengan yang lain dalam beberapa petikan: Dalam Perjanjian Lama , “TUHAN” dibezakan daripada “Tuhan” (Kejadian 19:24; Hosea 1:4). “TUHAN” mempunyai seorang “Anak” (Mazmur 2: 7,12; Amsal 30:2-4). Roh dibezakan daripada “TUHAN” (Bilangan 27:18) dan daripada “Allah” (Mazmur 51:12). Anak berbeza dengan Bapa (Mazmur 45:6-7; Ibrani 1:8-9). Dalam Perjanjian Baru iaitu dalam Yohanes 14:16-17, Yesus bercakap tentang Bapa mengirim Roh Kudus sebagai Penolong. Ini menunjukkan bahawa Yesus tidak menganggap diri-Nya sebagai Bapa atau Roh Kudus. Pertimbangkan juga tentang Yesus yang bercakap-cakap kepada Bapa dalam keempat kitab Injil. Adakah Dia berkata-kata kepada diri-Nya sendiri? Tidak. Dia berkata-kata kepada satu Peribadi yang merupakan salah satu Peribadi dalam Allah Tritunggal iaitu kepada ‘Bapa’.
4) Setiap anggota Tritunggal adalah Tuhan. Bapa adalah Tuhan: Yohanes 6;27; Roma 1: 7; 1 Petrus 1: 2. Anak adalah Tuhan: Yohanes 1:1, 14; Roma 9:5; Ibrani 1: 8; 1 Yohanes 5: 20. Roh Kudus adalah Tuhan: Kisah 5: 3-4; 1 Korintus 3: 16 (Yang tinggal di dalam kita adalah Roh Kudus – Roma 8: 9; Yohanes 14: 16-17; Kisah Rara Rasul 2: 1-4)
5) Kedudukan pangkat dalam Tritunggal: Firman Tuhan menunjuk bahawa Roh Kudus lebih rendah kedudukan kepada Bapa dan Anak, sementara Anak lebih rendah kedudukan kepada Bapa. Inilah bahagian yang paling sukar dimengerti oleh fikiran manusia yang terbatas berkenaan Tuhan kita yang tidak terbatas. Tentang Anak lihat: Lukas 22:42; Yohanes 5:36; Yohanes 20:21; 1 Yohanes 4:14. Berhubung Roh Kudus: Lihat Yohanes 14:16, 26; 16: 7 terutama sekali Yohanes 16: 13-14.
6) Tugas-tugas setiap peribadi dalam Tritunggal: Bapa adalah punca utama atau penyebab kepada: 1) alam semesta ( 1 Korintus 8: 6; Wahyu 4:11); 2) wahyu ilahi (Wahyu 1: 1); 3) keselamatan (Yohanes 3:16-17) dan 4) apa yang dikerjakan Yesus sebagai manusia (Yohanes 5:17; 14:10). Kesemua perkara ini berlaku di atas inisiatif Bapa.
Anak adalah saluran yang melalui-Nya Bapa melakukan pekerjaan-pekerjaan yang berikut: 1) penciptaan dan penyenggeraan alam semesta (1 Korintus 8:6; Yohanes 1: 3; Kolose 1: 16-17), 2) wahyu ilahi (Yohanes 1:1; Matius 11:27; Yohanes 16:12-15; Wahyu 1:1); dan 3) keselamatan (2 Korintus 5:19; Matius 1:21; Yohanes 4:42). Bapa melakukan semua ini melalui Anak yang berperanan sebagai ajen-Nya.
Roh Kudus merupakan saluran yang melalui-Nya Bapa melakukan pekerjaan-pekerjan yang berikut: 1) penciptaan dan penyenggeraan alam semesta (Kejadian 1:2; Ayub 26;13; Mazmur 104:30); 2) wahyu ilahi (Yohanes 16: 12-15); Efesus 3: 5; 2 Petrus 1: 21); dan 4) pekerjaan-pekerjaan Yesus (Yesaya 61:1; Kisah Para Rasul 10:38). Demikianlah Bapa melakukan kesemua perkara ini dengan kuasa Roh Kudus.
Tidak ada satupun daripada contoh-contoh terkenal yang dapat memberikan penjelasan sepenuhnya tentang Tritunggal. Contoh telur (atau epal), adalah contoh yang gagal sebab cengkerang, putih-telur dan kuning-telur setiap satunya adalah bahagian kepada telur tetapi setiap satunya bukanlah telur itu sendiri. Bapa, Anak dan Roh Kudus bukan bahagian-bahagian daripada Tuhan, melainkan setiap satunya adalah Tuhan. Contoh air merupakan contoh yang lebih baik namun ianya satu contoh yang gagal juga. Cecair,wap dan pepejal kesemuanya adalah bentuk-bentuk air. Bapa, Anak dan Roh Kudus bukannya bentuk-bentuk Tuhan, melainkan setiap satunya adalah Tuhan. Jadi, sementara contoh-contoh ini dapat memberikan sedikit gambaran perihal Tritunggal, gambaran yang diberikan tidaklah tepat pada keseluruhannya. Tuhan yang baka tidak dapat djelaskan dengan menggunakan contoh-contoh yang fana. Daripada memfokus kepada Tritunggal, adalah lebih baik memfokus kepada sifat dan kebesaran Tuhan yang sangat tidak terbatas berbanding dengan kita. “O, alangkah dalamnya kekayaan, hikmat dan pengetahuan Allah! Sungguh tak terselidiki keputusan-keputusan-Nya dan sungguh tak terselami jalan-jalan-Nya! Sebab, siapakah yang mengetahui pikiran Tuhan? Atau siapakah yang pernah menjadi penasihat-Nya?” (Roma 11:33-34)
English
Apakah yang diajarkan Alkitab tentang Tritunggal?