settings icon
share icon
Soalan

Terdapatkah pengampunan? Bagaimanakah saya menerima pengampunan daripada Tuhan?

Jawapan


Kisah Rasul-Rasul 13:38 mengatakan, “Oleh itu, saudara-saudara, ketahuilah bahawa melalui Yesus berita tentang pengampunan dosa sudah disampaikan kepada saudara semua.”

Apakah itu pengampunan dan mengapakah saya memerlukannya?

Perkataan “ampun” bermakna melupakan segala yang lepas, memaafkan, membatalkan hutang. Apabila kita melakukan kesalahan ke atas orang, kita meminta maaf supaya hubungan dengannya dapat dipulihkan. Pengampunan bukan diberikan atas sebab seseorang itu berhak untuk dimaafkan. Tiada sesiapa pun berhak untuk dimaafkan. Pengampunan adalah satu tindakan kasih sayang, belas kasihan dan rahmat. Pengampunan adalah satu keputusan untuk tidak berdendam terhadap seseorang, tanpa mengambil kira apa yang mereka telah lakukan terhadap anda.

Alkitab memberitahu kita bahawa kita semua memerlukan pengampunan daripada Tuhan. Kita semua telah berdosa. Pengkhutbah 7:20 menyatakan, “Di bumi tiada seorang pun yang selalu berbuat baik dan tidak pernah melakukan kesalahan.” 1 Yohanes 1:8 menyatakan, “Jika kita berkata bahawa kita tidak berdosa, kita menipu diri sendiri dan Allah tidak ada di dalam kita.” Semua dosa adalah perbuatan menentang Tuhan (Mazmur 51:4). Akibatnya, kita amat memerlukan pengampunan Tuhan. Jika dosa kita tidak diampuni, kita akan menderita selama-lamanya disebabkan oleh dosa kita (Matius 25:46; Yohanes 3:36).

Pengampunan – Bagaimanakah saya mendapatnya?

Bersyukurlah, Tuhan yang penyayang dan pemurah – ingin sekali mengampuni dosa kita! 2 Petrus 3:9 memberitahu kita, “Tuhan tidak terlambat untuk melakukan apa yang sudah dijanjikan-Nya, meskipun beberapa orang berfikir demikian. Sebaliknya, Dia sabar terhadap kamu, kerana Dia tidak ingin sesiapa pun binasa. Dia mahu semua orang bertaubat daripada dosa.” Tuhan berhasrat untuk memaafkan kita, oleh itu Dia menyediakan pengampunan untuk kita.

Hanya satu hukuman yang adil ke atas dosa kita iaitu kematian. Bahagian separuh pertama Roma 6:23 menyatakan, “Kematian adalah upah dosa…” Kematian abadi adalah upah yang kita terima akibat daripada dosa kita. Tuhan, di dalam rancangan sempurna-Nya, menjadi seorang manusia –Yesus Kristus (Yohanes 1:1,14). Yesus mati di atas salib, memikul hukuman mati bagi pihak kita. 2 Korintus 5 :21 mengajar kita, “Kristus tidak berdosa, tetapi demi kebaikan kita, Allah meletakkan dosa kita pada Dia. Dengan demikian kita berbaik semula dengan Allah, apabila kita bersatu dengan Kristus.” Yesus mati di atas salib, memikul hukuman kita yang sepatutnya kita terima! Sebagai Tuhan, kematian Yesus memberikan pengampunan dosa bagi seluruh dunia. 1 Yohanes 2:2 memaklumkan, “Melalui Kristuslah dosa kita diampunkan, dan bukannya dosa kita sahaja, tetapi juga dosa semua orang.” Yesus bangkit daripada kematian, mengumumkan kemenangan-Nya mengatasi dosa dan kematian (1 Korintus 15:1-28). Puji Tuhan, melalui kematian dan kebangkitan Yesus Kristus, bahagian separuh kedua Roma 6:23 adalah benar, “…tetapi hidup sejati dan kekal bersama-sama Kristus Yesus Tuhan kita adalah anugerah Allah.”

Adakah anda inginkan dosa anda diampuni? Adakah anda sentiasa mempunyai rasa bersalah yang tidak dapat diatasi? Pengampunan bagi dosa anda tersedia jika anda meletakkan kepercayaan anda kepada Yesus Kristus sebagai Penyelamat anda. Efesus 1:7 menyatakan, “Hal itu demikian, kerana dengan kematian Kristus kita dibebaskan; maknanya Allah sudah mengampunkan dosa kita. Alangkah mulianya rahmat Allah.” Yesus telah membayar hutang kita supaya kita dapat diampuni. Apa yang anda perlu buat adalah meminta Tuhan untuk mengampuni anda melalui Yesus, percaya Yesus mati untuk membayar harga pengampunan bagi anda – maka Tuhan akan mengampuni anda! Yohanes 3:16-17 mengandungi berita yang mengagumkan ini, “Allah sangat mengasihi orang di dunia ini sehingga Dia memberikan Anak-Nya yang tunggal, supaya setiap orang yang percaya kepada Anak itu tidak binasa tetapi beroleh hidup sejati dan kekal. Allah mengutus Anak-Nya ke dunia ini bukan untuk menghakimi dunia, tetapi untuk menyelamatkannya.”

Pengampunan – Betulkah begitu senang sahaja?

Ya, begitu senang sahaja! Anda tidak dapat melakukan apa-apa untuk mendapatkan pengampunan daripada Tuhan. Anda tidak dapat membayar untuk mendapatkan pengampunan daripada Tuhan. Anda hanya boleh menerimanya, dengan iman, melalui rahmat dan belas kasihan Tuhan. Jika anda hendak menerima Yesus Kristus sebagai Penyelamat anda dan menerima pengampunan daripada Tuhan, berikut adalah doa yang anda boleh lafazkan. Melafazkan doa ini atau doa-doa lain tidak dapat menyelamatkan anda. Hanya kepercayaan kepada Yesus Kristus yang boleh memberikan pengampunan dosa. Doa ini hanyalah satu cara yang mudah untuk menunjukkan kepada Tuhan bahawa anda percaya kepada-Nya dan berterima kasih kepada-Nya kerana menyediakan pengampunan kepada anda. "Tuhan, saya mengaku bahawa saya sudah berdosa terhadap Kamu dan patut dihukum. Tetapi Yesus Kristus telah menggantikan saya untuk menerima hukuman itu supaya saya dapat diampuni melalui kepercayaan ke atas Dia. Saya meletakkan kepercayaan saya kepada Kamu untuk mendapat penyelamatan. Terima kasih Tuhan kerana rahmat dan pengampunan Kamu yang mengagumkan! Amin!"

Adakah anda sudah membuat keputusan untuk menerima Kristus selepas membaca laman ini? Jika ya, sila tekan butang “Saya telah menerima Kristus hari ini” di bawah.

English



Balik ke laman bahasa Melayu

Terdapatkah pengampunan? Bagaimanakah saya menerima pengampunan daripada Tuhan?
Kongsi halaman ini: Facebook icon Twitter icon Pinterest icon Email icon
© Copyright Got Questions Ministries