settings icon
share icon
Soalan

Mengapa Tuhan sangat berbeza dalam Perjanjian Lama berbanding dengan Perjanjian Baru?

Jawapan


Saya yakin pertanyaan ini telah mengakibatkan kekeliruan akibat daripada segala yang dinyatakan dalam Perjanjian Lama dan Perjanjian Baru mengenai sifat Tuhan Allah. Satu lagi cara untuk menyatakan pendapat yang sama adalah apabila seseorang berkata: “Tuhan dalam Perjanjian Lama merupakan Tuhan yang murka manakala Tuhan dalam Perjanjian Baru merupakan Tuhan yang penyayang. Kitab Injil ialah Wahyu yang bersifat progresif dari Allah kepada kita melalui peristiwa-peristiwa bersejarah dan melalui hubungan-Nya dengan manusia di sepanjang perjalanan sejarah. Maka Wahyu ini tentu telah menyumbang kepada salah faham manusia mengenai sifat Tuhan dalam Perjanjian Lama apabila dibandingkan dengan sifat Tuhan yang dinyatakan dalam Perjanjian Baru. Bagaimanapun, sekiranya seseorang membaca kedua-dua Perjanjian Lama dan Perjanjian Baru tanpa berhenti maka akan menjadi jelas kepada mereka bahawa Tuhan tidak berbeza dalam kedua-dua perjanjian. Kemarahan dan kasih Tuhan dinyatakan dalam kedua-dua Perjanjian.

Sebagai contoh, dalam Perjanjian Lama, Tuhan dinyatakan sebagai “penyayang dan pengasih, penyabar, mempunyai kasih yang berlimpah dan setia” (Keluaran 34:6; Bilangan 14:18; Ulangan 4:31; Nehemia 9:17; Mazmur 86:5; Mazmur 86:15; Mazmur 108:5; Mazmur 145:8; Yoel 2:13). Dalam Perjanjian Baru, sifat penyayang dan kasih-Nya yang besar dinyatakan dengan lebih jelas lagi melalui Firman yang berbunyi “Allah sangat mengasihi orang di dunia ini sehingga Dia memberikan Anak-Nya yang tunggal, supaya setiap orang yang percaya kepada Anak itu tidak binasa tetapi beroleh hidup sejati dan kekal” (Yohanes 3:16)

Dalam Perjanjian Lama, kita juga melihat Tuhan menghukum umat Israel seperti seorang ayah menghukum anaknya. Apabila mereka dengan sengaja berdosa terhadap Tuhan dan mula menyembah berhala, Tuhan akan menghukum mereka, namun Dia juga datang dan menyelamatkan mereka daripada musuh dan masalah mereka setelah mereka bertaubat daripada dosa menyembah berhala. Demikian juga cara Tuhan menghukum orang Kristian dalam Perjanjian Baru. Sebagai contoh, Ibrani 12:6 menyatakan “Tuhan menunjukkan kesalahan setiap orang yang dikasihi-Nya dan menghukum setiap orang yang diakui-Nya sebagai anak”.

Dalam Perjanjian Lama, kita dapat melihat hukuman dan kemurkaan Tuhan dikenakan ke atas mereka yang berdosa dan berkeras hati tidak mahu bertaubat. Dalam hal yang sama, dalam Perjanjian Baru, Firman Tuhan berkata “Dari syurga Allah menunjukkan kemurkaan-Nya terhadap segala dosa dan kejahatan manusia, kerana kejahatan menghalang manusia untuk mengetahui ajaran benar tentang Allah” (Roma 1:18). Jika dibaca sepintas lalu sekalipun, sangat jelas bahawa Yesus lebih banyak bercakap tentang neraka berbanding syurga. Jadi jelas bahawa Tuhan dalam Perjanjian Lama tidak berbeza dengan Tuhan dalam Perjanjian Baru. Sifat Allah tidak berubah. Walaupun kita melihat salah satu daripada sifat-Nya dinyatakan lebih kerap dalam bahagian-bahagian Firman Tuhan yang tertentu, diri-Nya sendiri tidak berubah.

Jika seseorang membaca Alkitab dengan bersungguh-sungguh, dia dapat melihat dengan jelas bahawa Tuhan dalam Perjanjian Lama dan Perjanjian Baru tidak berbeza. Walaupun kitab Injil sebenarnya merupakan gabungan 66 buah buku, yang ditulis di dua (mungkin tiga) benua dalam tiga bahasa yang berbeza, dalam jangka masa lebih kurang 1500 tahun, oleh lebih daripada 40 orang penulis (yang berasal daripada pelbagai latar belakang), kitab Injil tetap mempunyai kesatuan dari buku terawal sehingga terakhir tanpa sebarang pertentangan. Melaluinya kita dapat melihat bagaimana Tuhan yang penyayang, maha pengampun dan adil menghukum manusia yang berdosa dalam pelbagai keadaan. Sebenarnya, kitab Injil merupakan surat cinta Tuhan kepada manusia. Kasih Tuhan bagi ciptaan-Nya, terutamanya manusia, sangat jelas disebut dalam kitab Injil. Di sepanjang kitab Injil, kita dapat melihat Tuhan yang penuh kasih dan maha ampun memanggil semua orang untuk menjalin satu hubungan yang istimewa dengan-Nya, bukan disebabkan oleh manusia layak untuk menjalin hubungan ini tetapi kerana Dia ialah Tuhan yang penyayang dan maha pengampun, penyabar dan penuh dengan kasih dan kebenaran. Namun kita juga dapat melihat Allah yang kudus dan yang benar, Hakim yang akan menghakimi semua orang yang tidak mentaati Firman-Nya dan tidak mahu menyembah-Nya, sebaliknya memilih untuk menyembah berhala-berhala ciptaan mereka sendiri daripada menyembah satu-satunya Allah yang benar (Roma 1).

Disebabkan oleh sifat adil dan kudus Tuhan, semua dosa lampau, sekarang dan akan datang mesti dihukum. Tetapi kerana kasih-Nya yang tidak berkesudahan, Tuhan telah menyediakan penebus dan jalan perdamaian supaya orang berdosa dapat mengelak kemurkaan-Nya. Kita dapat melihat kebenaran ini dalam 1 Yohanes 4:10 “Inilah kasih: Bukannya kita telah mengasihi Allah, tetapi Allah mengasihi kita dan mengutus Anak-Nya supaya melalui Dia dosa kita diampunkan”.

Dalam Perjanjian Lama, Tuhan menyediakan satu sistem persembahan korban binatang supaya penebusan dosa dapat dilakukan, tetapi sistem korban binatang ini adalah sementara dan satu bayangan kepada kedatangan Yesus Kristus yang akan mati di atas kayu salib untuk menjadi penebus sebenar bagi dosa. Penyelamat yang dijanjikan dalam Perjanjian Lama juga dinyatakan dengan teliti dalam Perjanjian Baru dan pernyataan terunggul kasih Allah dapat dilihat melalui pengutusan Anak-Nya Yesus Kristus dengan penuh kemuliaan. Perjanjian Lama dan Perjanjian Baru diberikan supaya “memberi engkau kebijaksanaan untuk mendapat penyelamatan melalui iman kepada Yesus Kristus” (2 Timotius 3:15). Apabila kita mengkaji kedua-dua perjanjian dengan teliti, maka terbukti bahawa tiada perbezaan antara Tuhan dalam Perjanjian Baru dengan Tuhan yang dinyatakan dalam Perjanjian Lama.

English



Balik ke laman bahasa Melayu

Mengapa Tuhan sangat berbeza dalam Perjanjian Lama berbanding dengan Perjanjian Baru?
Kongsi halaman ini: Facebook icon Twitter icon Pinterest icon Email icon
© Copyright Got Questions Ministries