settings icon
share icon
Soalan

Adakah Tuhan mencipta kejahatan?

Jawapan


Jika difikir sekali pintas, Tuhan mencipta segala sesuatu, maka kejahatan juga telah dicipta oleh-Nya. Bagaimanapun, terdapat andaian di sini yang perlu kita selesaikan terlebih dahulu. Kejahatan bukan suatu “benda” – seperti seketul batu atau tenaga elektrik. Anda tidak boleh mempunyai sebotol kejahatan! Tetapi, kejahatan ialah sesuatu yang berlaku seperti berjalan. Kejahatan tidak wujud secara sendiri – ia merupakan kekurangan dalam perkara yang baik. Sebagai contoh, lubang itu ketara tetapi hanya dapat wujud dalam sesuatu benda. Kita menamakan keadaan tidak mempunyai tanah sebagai lubang tetapi lubang tidak dapat dipisahkan daripada tanah itu sendiri. Jadi sewaktu Tuhan mencipta, memang benar semua yang telah diciptakan itu adalah baik. Salah satu daripada ciptaan Tuhan yang baik ialah makhluk yang mempunyai kebebasan untuk memilih kebaikan. Tuhan perlu membenarkan sesuatu yang tidak baik wujud supaya pilihan dapat dilakukan. Jadi Tuhan mengizinkan malaikat-malaikat dan manusia bebas membuat pilihan di antara kebaikan dan kejahatan. Apabila hubungan antara dua pihak kurang baik, kita katakan keadaan itu tidak baik, tetapi keadaan ini bukan “suatu benda” yang memerlukan Tuhan untuk menciptanya.

Barangkali satu contoh lain dapat membantu. Sekiranya saya bertanya kepada seseorang “Adakah kesejukan itu wujud?” – jawapannya tentu ‘ya’. Tetapi jawapan itu salah. Kesejukan itu tidak wujud. Kesejukan adalah disebabkan oleh ketidakhadiran kepanasan. Sama juga dengan kegelapan. Kegelapan tidak wujud. Kegelapan berlaku apabila tiada cahaya. Begitu juga dengan kejahatan iaitu tiada kebaikan atau lebih baik dikatakan ‘kejahatan’ wujud disebabkan Tuhan “tidak hadir”.

Lihat contoh yang terdapat dalam Ayub 1-2. Iblis mahu membinasakan Ayub, dan Tuhan mengizinkan Iblis melakukan apa sahaja terhadap Ayub kecuali membunuhnya. Tuhan mengizinkan hal ini berlaku untuk membuktikan kesetiaan Ayub kerana cintanya kepada Tuhan, bukannya disebabkan oleh kelimpahan berkat Tuhan ke atasnya. Tuhan itu berdaulat dan secara mutlak berkuasa ke atas semua perkara yang berlaku. Tuhan tidak mencipta kejahatan tetapi Dia membenarkannya. Sekiranya Tuhan tidak mengizinkan kemungkinan berlakunya kejahatan, maka kedua-dua pihak manusia dan malaikat akan melayani Tuhan disebabkan oleh tanggungjawab sahaja dan bukan berdasarkan pilihan.. "Dia tidak mahu robot-robot yang sedia melakukan segala yang dikehendaki-Nya disebabkan oleh program yang dimasukkan ke dalam badan mereka. Tuhan mengizinkan kemungkinan berlaku kejahatan supaya kita benar-benar mempunyai kehendak yang bebas dan boleh memilih samada hendak melayani Dia ataupun tidak.

Sesungguhnya, kita tidak mempunyai jawapan kepada pertanyaan-pertanyaan ini dan tidak dapat memahami dengan sepenuhnya. Kita sebagai manusia yang serba terbatas, tidak akan dapat memahami Tuhan Allah yang tidak terbatas (Roma 11:33-34). Kadangkala kita fikir kita memahami sebab-sebab Tuhan melakukan sesuatu perkara, tetapi akhirnya kita menyedari bahawa Dia melakukan segalanya atas tujuan yang jauh berbeza daripada pendapat kita. Tuhan melihat semua perkara dari sudut pandangan abadi. Kita melihat dari sudut pandangan dunia. Mengapa Tuhan meletakkan manusia di atas bumi walaupun dia mengetahui bahawa Adam dan Hawa akan berdosa dan akibat daripada dosa, mereka akan membawa kejahatan, kematian dan penderitaan kepada manusia? Mengapa Tuhan tidak terus mencipta kita dan meletakkan kita di syurga supaya kita semua berada dalam keadaan sempurna tanpa penderitaan? Jawapan yang terbaik yang dapat saya berikan ialah: Tuhan tidak mahu suatu bangsa yang terdiri daripada robot yang tidak mempunyai kebebasan untuk membuat pilihan. Tuhan perlu mengizinkan kemungkinan berlaku kejahatan agar kita dapat membuat pilihan sendiri untuk menyembah-Nya atau sebaliknya. Sekiranya kita tidak pernah menderita dan mengalami kejahatan, dapatkah kita bayangkan betapa mulianya syurga itu? Tuhan tidak mencipta kejahatan tetapi Dia mengizinkannya. Sekiranya Dia tidak membenarkan kejahatan, kita akan melayani Dia disebabkan oleh tanggungjawab, dan bukan kerana pilihan yang kita boleh lakukan dengan kehendak bebas kita.

English



Balik ke laman bahasa Melayu

Adakah Tuhan mencipta kejahatan?
Kongsi halaman ini: Facebook icon Twitter icon Pinterest icon Email icon
© Copyright Got Questions Ministries