settings icon
share icon
Soalan

Adakah Yesus telah disalibkan pada hari Jumaat?

Jawapan


Kitab Injil tidak menyebut secara khusus pada hari apakah Yesus telah disalibkan. Dua pendapat yang secara meluas dipegang oleh orang ramai berhubung penyaliban-Nya ialah ‘pendapat hari Jumaat’ dan ‘pendapat hari Rabu’. Sesetengah orang pula mengambil hari Khamis sebagai hari penyaliban Yesus dengan mengabungkan rumusan kedua-dua hujah hari Jumaat dan Rabu.

Dalam Matius 12:40 Yesus berkata “Sebagaimana Yunus tinggal tiga hari dan tiga malam di dalam perut ikan besar, demikian juga Anak Manusia akan tinggal tiga hari dan tiga malam di dalam perut bumi”. Mereka yang berpegang kepada penyaliban pada hari Jumaat berkata bahawa masih ada cara lain untuk menunjukkan Yesus berada dalam kubur selama tiga hari. Pada pandangan orang Yahudi abad pertama, setengah hari dianggap sebagai satu hari penuh. Disebabkan Yesus berada dalam kubur pada sebahagian hari Jumaat, sehari suntuk pada hari Sabtu dan sebahagian hari Ahad – Dia boleh dianggap telah berada dalam kubur selama tiga hari. Salah satu pegangan kukuh untuk penyaliban hari Jumaat terdapat dalam Markus 15:12 yang mengatakan bahawa Yesus telah disalib sehari sebelum hari Sabat. Sekiranya hari itu merujuk kepada Sabat mingguan iaitu pada hari sabtu, maka penyaliban berlaku pada hari Jumaat. Beberapa orang pula memetik Matius 16:21 dan Lukas 9:22 yang mengatakan bahawa Yesus akan bangkit pada hari ketiga, maka Dia tidak perlu berada dalam kubur selama tiga hari suntuk. Beberapa terjemahan menggunakan frasa “pada hari ketiga” untuk ayat-ayat ini, tetapi bukan semua penterjemah menterjemah sedemikian dan bukan semua orang bersetuju bahawa itulah terjemahan yang terbaik bagi ayat-ayat ini. Lagipun Markus 8:31 berkata bahawa Yesus akan dibangkitkan “selepas” tiga hari.

Hujah hari Khamis mempertikaikan pandangan hari Jumaat dan memberi alasan bahawa terlalu banyak peristiwa yang berlaku sejak waktu pengkuburan Yesus sehingga hari Ahad maka sukar untuk ianya berlaku dari petang hari Jumaat sehingga pagi Ahad. Mereka menunjukkan masalah timbul apabila satu-satunya hari penuh di antara hari Jumaat dan Ahad ialah hari Sabtu yang merupakan hari Sabat orang Yahudi. Jika ditambah satu atau dua hari, masalah ini akan berjaya diselesaikan. Mereka yang berpegang pada hari Khamis seterusnya dapat memberikan penjelasan: Katakanlah anda tidak melihat seorang sahabat sejak pagi hari Isnin. Kemudian anda melihatnya semula pada pagi hari Khamis dan anda berkata kepadanya, “Saya telah tiga hari tidak melihat anda” walaupun secara teknikal baru 60 jam telah berlalu (2.5 hari). Sekiranya Yesus telah disalibkan pada hari Khamis, contoh ini menunjukkan bahawa teori ini dapat diterima sebagai tiga hari.

Pendapat yang berpegang pada penyaliban pada hari Rabu menyatakan bahawa terdapat dua penyaliban pada minggu itu. Selepas penyaliban yang pertama (yang berlaku pada waktu petang hari penyaliban, Markus 15:2, Lukas 23: 52-54) para wanita telah membeli rempah-rempah — perhatikan bahawa mereka membeli semua itu selepas hari Sabat (Markus 16:1). Pandangan yang menyokong penyaliban berlangsung pada hari Rabu mengatakan bahawa Sabat yang berlaku setelah Yesus disalibkan merupakan ‘Sabat hari Paska’ (lihat Imamat 16:29-31,39 mengatakan bahawa hari-hari Sabat tidak semestinya merujuk kepada hari yang ketujuh pada setiap minggu) Perhatikan dalam Lukas 23:56 para wanita telah membeli rempah-rempah selepas hari Sabat, menyediakan rempah-rempah tersebut dan berehat pada hari Sabat (Lukas 23:56). Hujah ini membuktikan bahawa tidak mungkin mereka dapat membeli rempah selepas hari Sabat tetapi mempersiapkan rempah-rempah tersebut sebelum hari Sabat, kecuali terdapat dua hari Sabat dalam minggu itu. Dengan memegang pandangan dua Sabat ini, sekiranya Kristus telah disalibkan pada hari Khamis maka hari Sabat (Paska) akan bermula pada waktu matahari terbenam pada hari Khamis dan berakhir pada keesokan harinya waktu terbenamnya matahari pada hari Jumaat - iaitu pada waktu bermulanya Sabat mingguan iaitu pada hari Sabtu. Membeli rempah-rempah selepas Sabat yang pertama (Paska) memberikan pengertian bahawa mereka telah mendapatkan rempah-rempah tersebut pada hari Sabat Sabtu dan telah melanggar peraturan Hari Sabat.

Oleh yang demikian, satu-satunya penjelasan yang menjelaskan peristiwa wanita dan rempah-rempah itu serta berpegang kepada pemahaman harafiah dalam Matius 12:40, adalah berpegang kepada penyaliban Kristus pada hari Rabu. Sabat Paska telah berlaku pada hari Khamis, para wanita membeli rempah-rempah selepas itu iaitu pada hari Jumaat dan menyediakan rempah-rempah itu pada hari yang sama, mereka berehat pada hari Sabtu dan kemudian membawa rempah-rempah tersebut ke kubur pada awal pagi hari Ahad. Dia telah dikuburkan sewaktu matahari hampir terbenam pada hari Rabu yang merupakan permulaan hari Khamis dalam takwim orang Yahudi. Berpandukan takwim orang Yahudi, mereka ada malam Khamis (malam pertama), hari Khamis (hari pertama), malam Jumaat (malam kedua), hari Jumaat (hari kedua), malam Sabtu (malam ketiga) dan siang Sabtu (hari ketiga). Kita tidak ketahui dengan pasti saat kebangkitan-Nya, tetapi kita tahu bahawa ianya berlaku sebelum matahari terbit pada hari Ahad (Yohanes 20:1, Pada pagi hari Minggu, semasa masih gelap, Maria Magdalena pergi ke kubur. Dia melihat batu penutup sudah digulingkan dari lubang kubur itu. Oleh itu, dia lari mencari Simon Petrus dan pengikut lain yang dikasihi oleh Yesus, lalu berkata kepada mereka, "Jenazah Tuhan telah diambil dari kubur dan kami tidak mengetahui tempat Dia diletakkan.") Dia tentu sekali telah bangkit seawal atau sejurus selepas matahari terbit selepas malam hari Sabtu yang mana merupakan permulaan hari pertama dalam takwim orang Yahudi.

Satu masalah yang dihadapi mengikut pendapat hari Rabu ialah perihal pengikut-pengikut yang berjalan dengan Yesus dalam perjalanan ke Emaus “pada hari yang sama” dengan hari kebangkitan-Nya (Lukas 24:13). Para pengikut yang tidak mengenali-Nya telah memberitahu-Nya tentang penyaliban Yesus (24:20) dan mengatakan bahawa “hari ini merupakan hari ketiga setelah peristiwa ini berlaku” (24:21). Hari Rabu ke hari Ahad ada sejumlah empat hari. Penjelasan yang dapat diterima ialah mereka mula menghitung sejak petang hari Rabu ketika Yesus dikuburkan yang juga merupakan bermulanya hari Khamis dalam takwim orang Yahudi, dan Khamis sehingga Ahad dapat dihitung sebagai tiga hari.

Tetapi hal yang paling penting bukan hari apa Yesus telah disalibkan dalam minggu itu. Sekiranya hal ini sangat mustahak, pasti Tuhan telah menjadikannya sangat jelas kepada kita. Apa yang penting ialah Dia telah mati, dan bahawa Dia secara jasmani telah bangkit daripada kematian. Dan yang sama penting dengan kenyataan itu ialah alasan kepada kematian-Nya iaitu untuk menanggung semua hukuman yang sepatutnya diterima oleh semua orang yang berdosa. Kedua-dua ayat Firman dalam Yohanes 3:16 dan 3:36 mengisytiharkan barang sesiapa yang percaya atau meletakkan harapan di dalam Dia akan mendapat kehidupan yang kekal!

English



Balik ke laman bahasa Melayu

Adakah Yesus telah disalibkan pada hari Jumaat?
Kongsi halaman ini: Facebook icon Twitter icon Pinterest icon Email icon
© Copyright Got Questions Ministries