Soalan
Menurut nubuatan akhir zaman, apakah yang akan berlaku?
Jawapan
Alkitab banyak bercakap tentang akhir zaman. Hampir setiap kitab dalam Alkitab mengandungi nubuatan akhir zaman. Susah sekali mengambil dan menyusun semua nubuat ini. Berikut merupakan rumusan peristiwa akhir zaman yang dinubuatkan dalam Alkitab.
Kristus akan datang mengambil semua orang percaya yang telah dilahirkan kambali dalam satu peristiwa yang disebut sebagai “pengangkatan” (1 Tesalonika 4:13-18; 1 Korintus 15:51-54). Mereka ini akan menerima upah perbuatan baik dan kesetiaan pelayanan mereka di hadapan taktha pengadilan Kristus atau kehilangan upah mereka kerana kurangnya pelayanan dan ketaatan, tetapi tetap memiliki keselamatan (1 Korintus 3:11-15, 2 Korintus 5:10).
Antikristus (binatang) akan mendapat kuasa dan akan menandatangani satu perjanjian dengan Israel selama tujuh tahun (Daniel 9:27). Masa tujuh tahun ini dikenali sebagai “masa sengsara”. Pada waktu ini akan ada peperangan, kebuluran, penyakit berjangkit dan pelbagai bencana alam. Tuhan akan melampiaskan murka-Nya ke atas dosa dan kejahatan. Masa kesengsaraan ini memunculkan empat penunggang kuda, tujuh materai, tiupan trompet, dan penghukuman dari piala Tuhan.
Di pertengahan tujuh tahun, antikristus memutuskan perjanjian dengan Israel dan berperang melawannya. Antikristus akan melakukan “kekejian yang membinasakan” dan akan mendirikan patungnya sendiri untuk disembah di dalam Bait Allah yang akan dibina semula (Daniel 9:27; 2 Tesalonika 2:3-10). Bahagian kedua daripada masa sengsara dikenali sebagai “masa kesengsaraan yang besar” (Wahyu 7:14) dan “waktu kesusahan bagi Yakub” (Yeremia 30:7).
Di akhir tujuh tahun sengsara, antikristus akan melancarkan serangan terakhir ke atas Yerusalem. Peperangan ini akan memuncak dalam perang Armagedon. Yesus Kristus datang memusnahkan antiKristus dan tentera-tenteranya lalu membuang mereka ke dalam lautan api (Wahyu 19: 11-21). Kristus akan mengikat Iblis dalam jurang maut selama 1000 tahun dan Dia akan memerintah dalam kerajaan-Nya di atas muka bumi selama seribu tahun (Wahyu 20:1-6).
Di akhir seribu tahun, Iblis dilepaskan tetapi akan dikalahkan semula dan dibuang ke dalam lautan api (Wahyu 20: 7-10). Kemudian Kristus akan duduk di atas taktha putih yang besar menghakimi orang-orang yang tidak percaya. Akhirnya Kristus membawa masuk langit dan bumi yang baru bersama Yerusalem Baru iaitu tempat kediaman kekal orang-orang percaya. Tidak ada lagi dosa, dukacita dan maut di dalamnya (Wahyu 21:22).
English
Menurut nubuatan akhir zaman, apakah yang akan berlaku?