Soalan
Adakah Mormon itu sebuah kultus? Apakah yang dipercayai Mormon?
Jawapan
Agama Mormon (Mormonisme), yang mana pengikut-pengikutnya dikenali sebagai Mormon dan Latter Day Saints (LDS), telah diasaskan kurang daripada 200 tahun dahulu oleh seorang yang bernama Joseph Smith. Dia mengaku telah dilawati oleh Allah Bapa dan Tuhan Yesus yang memberitahunya tentang keadaan semua gereja di dunia yang menjijikan di mata Tuhan. Joseph Smith kemudian memulakan satu agama baru yang diakuinya sebagai “satu-satunya gereja yang benar di atas bumi.” Masalah dengan Mormonisme ini adalah ia bertentangan, mengubah dan menambahi Alkitab. Orang-orang Kristian mempercayai kesahihan dan kelengkapan Alkitab dan tidak mempunyai alasan untuk tidak mempercayainya. Orang-orang Kristian yang sungguh-sungguh percaya dan berharap kepada Tuhan adalah orang-orang yang mempercayai Firman-Nya. Mereka percaya bahawa semua bahagian Firman Tuhan telah diilhamkan oleh Tuhan dan Alkitab berasal daripada Dia (2 Timotius 3:16).
Orang-orang Mormon percaya ada empat sumber kata-kata yang diilhami secara ilahi dan bukan hanya satu: 1) Alkitab, “asalkan diterjemahkan dengan betul.” Tetapi bahagian Firman Tuhan yang mana telah tidak diterjemahkan dengan betul seringkali tidak dijelaskan. 2) Kitab Mormon, yang telah “diterjemahkan” oleh Smith dan diterbitkan dalam tahun 1830. Smith mengakui bahawa itulah “buku yang paling tepat” di atas bumi dan orang dapat lebih mendekati Tuhan dengan menurut semua ketetapan-ketetapan yang ada di dalamnya berbanding penggunaan buku-buku yang lain. 3) ‘Pengajaran dan Perjanjian-perjanjian’ yang mengandungi koleksi wahyu moden berhubung “Gereja Tuhan Yesus Kristus Yang Telah Dipulihkan” 4) ‘Mutiara Sangat Mahal’ (The Pearl of the Great Price) yang dianggap Mormon sebagai penjelasan doktrin dan pengajaran yang telah dikatakan hilang daripada Alkitab dan menambahkan ke dalamnya dengan maklumatnya sendiri tentang penciptaan bumi.
Golongan Mormon mempunyai kepercayaan yang berikut ini tentang Tuhan: Tuhan bukan mahluk yang sentiasa paling berkuasa dalam alam semesta tetapi telah mencapai status itu melalui kehidupan yang benar dan usaha yang gigih. Mereka percaya Allah Bapa mempunyai “tubuh darah dan daging” yang dapat disentuh seperti yang ada pada manusia. Walaupun telah ditinggalkan oleh golongan Mormon yang moden, Brigham Young pernah mengajar bahawa Adam merupakan Allah dan Bapa kepada Tuhan Yesus Kristus. Orang-orang Kristian mempunyai pengetahuan yang bertentangan dengan kepercayaan itu. Pengetahuan orang-orang Kristian tentang Allah adalah: terdapat hanya satu Tuhan yang benar (Ulangan 6:4; Yesaya 43:10; 44:6-8), Dia sentiasa telah wujud dan akan terus wujud (Ulangan 33:27; Mazmur 90:2; 1 Timotius 1:17), Dia tidak dicipta melainkan Dialah Sang pencipta (Kejadian 1; Mazmur 24:1; Yesaya 37:16). Dia sempurna dan tidak ada seorangpun yang setaraf dengan Dia (Mazmur 86:8; Yesaya 40:25). Allah Bapa bukan seorang manusia dan tidak pernah berasal dari manusia (Bilangan 23:19; 1 Samuel 15:29; Hosea 11:9). Dia adalah Roh (Yohanes 4:24) dan bukan terdiri daripada darah dan daging.
Orang-orang Mormon percaya terdapat tahap-tahap yang berbeza atau kerajaan-kerajaan dalam dunia selepas kematian: kerajaan syurga, kerajaan dunia, kerajaan telestial dan kegelapan luaran. Apa yang dipercayai dan dilakukan manusia dalam kehidupan di atas muka bumi sekarang ini akan menentukan nasib mereka kelak. Sebaliknya dalam Alkitab, kita diberitahu bahawa orang-orang yang telah mati akan pergi ke syurga atau neraka selepas kematian berdasarkan samada mereka telah menaruh iman di dalam Yesus Kristus sebagai Tuhan dan Penyelamat mereka atau sebaliknya. Sebagai orang-orang percaya, apabila kita meninggal dunia, kita akan pergi bersama-sama dengan Tuhan (2 Korintus 5:6-8). Orang-orang yang tidak percaya akan dihantar ke dalam neraka atau dunia orang mati (Lukas 16:22-23). Apabila Yesus datang kedua kalinya kita akan menerima tubuh yang baru (1 Korintus 15:50-54). Terdapat langit dan bumi yang baru untuk orang-orang yang percaya (Wahyu 21:1) dan orang-orang yang tidak percaya akan dibuang ke dalam api neraka kekal (Wahyu 20:11-15). Tidak ada peluang kedua atau penebusan selepas kematian (Ibrani 9:27).
Pemimpin-pemimpin Mormon telah mengajar bahawa inkarnasi Yesus telah diakibatkan oleh hubungan fizikal Allah Bapa dengan Maria. Mormon percaya Yesus sebagai satu tuhan tetapi mereka juga percaya bahawa semua orang boleh menjadi tuhan. Mormon mengajar keselamatan boleh diperolehi dengan iman yang digabungkan dengan perbuatan-perbuatan baik. Bertentangan dengan ini, orang-orang Kristian dalam sejarah telah mengajar bahawa tidak ada seorang pun yang dapat mencapai tahap Tuhan – hanya Allah saja yang kudus (1 Samuel 2:2). Kita dapat dijadikan kudus dalam pemandangan Tuhan hanya dengan beriman di dalam Dia (1 Korintus 1:2). Yesus merupakan satu-satunya Anak Tunggal Allah (Yohanes 3: 16), satu-satunya orang yang telah menjalani kehidupan yang tidak berdosa, tidak bercacat cela dan sekarang mendapat tempat terhormat dan tertinggi dalam syurga(Ibrani 7:26). Yesus dan Allah Bapa adalah satu. Yesuslah satu-satunya yang telah wujud sebelum kelahiran-Nya secara jasmani (Yohanes 1:1-8; 8:56). Yesus memberikan diri-Nya kepada kita sebagai satu pengorbanan, Tuhan membangkitkan Dia dari antara orang mati dan suatu hari nanti semua orang akan mengaku bahawa Tuhan Yesus Kristus adalah Tuhan (Filipi :6-11). Yesus berkata mustahil bagi kita untuk dapat masuk ke dalam syurga melalui usaha kita sendiri. Hanya dengan jalan beriman kepada Dia kita dapat masuk ke sana (Matius 19:26). Kita semua layak menerima hukuman kekal untuk semua dosa-dosa kita tetapi kasih dan anugerah Tuhan memberikan kepada kita jalan keluar. “Sebab upah dosa ialah maut; tetapi karunia Allah ialah hidup yang kekal dalam Kristus Yesus, Tuhan kita.” (Roma 6:23).
Jelas sekali bahawa hanya terdapat satu jalan untuk menerima keselamatan iaitu dengan mengenal Allah dan Anak-Nya, Yesus (Yohanes 17:3). Ia tidak dilakukan dengan perbuatan-perbuatan baik melainkan dengan iman (Roma 1:17; 3:28). Kita dapat menerima pemberian ini tanpa mengira siapa kita dan apa yang kita telah lakukan (Roma 3:22). “Dan keselamatan tidak ada di dalam siapa pun juga selain di dalam Dia, sebab di bawah kolong langit ini tidak ada nama lain yang diberikan kepada manusia yang olehnya kita dapat diselamatkan” (Kisah 4:12).
Walaupun pada kebiasaannya orang-orang Mormon ini peramah, suka bersahabat, mengasihi dan baik hati, mereka tertipu dengan sebuah agama palsu yang merosakkan sifat Allah yang sebenar, peribadi Yesus Kristus dan langkah-langkah untuk mendapatkan keselamatan.
English
Adakah Mormon itu sebuah kultus? Apakah yang dipercayai Mormon?