Soalan
Mengapakah Tuhan mengizinkan perkara buruk berlaku ke atas orang baik?
Jawapan
Mengapa perkara buruk berlaku ke atas orang baik? Soalan ini ialah salah satu pertanyaan yang susah dijawab antara semua soalan teologi. Tuhan itu kekal, maha tahu, maha hadir, maha kuasa dan sebagainya. Kenapa kita manusia (fana, terbatas, bukan maha tahu, bukan maha hadir dan bukan maha kuasa) menjangka akan dapat memahami kesemua rancangan Allah? Kitab Ayub menjawab persoalan ini. Tuhan telah mengizinkan Iblis untuk melakukan apa sahaja ke atas Ayub kecuali membunuhnya. Apakah reaksi Ayub? “Biarlah Allah membunuh aku kerana aku sudah putus asa, namun aku akan membela perkaraku di hadapan-Nya” (Ayub 13:15). “TUHAN yang memberikan dan sekarang TUHAN pula yang mengambil semula. Terpujilah nama TUHAN!” (Ayub 1:21). Ayub tidak mengerti mengapa Tuhan mengizinkan perkara-perkara yang telah diizinkan-Nya, tetapi Dia tahu Tuhan itu baik dan dia terus berharap pada Tuhan. Akhirnya, reaksi seperti ini yang perlu ada pada diri kita juga. Allah itu baik, benar, penyayang dan maha mengampuni. Seringkali perkara-perkara yang berlaku ke atas kita sama sekali kita tidak faham. Walau bagaimanapun, daripada meragui kebaikan Tuhan, reaksi yang harus ada pada kita adalah untuk terus berharap pada Dia. “Percayalah kepada TUHAN dengan sepenuh hatimu. Jangan bergantung pada pengertianmu sendiri. Ingatlah akan Tuhan dalam segala perbuatanmu dan Dia akan menunjukkan cara hidup yang baik kepadamu” (Amsal 3: 5-6).
Barangkali pertanyaan yang lebih baik adalah, “Mengapa perkara-perkara baik berlaku ke atas orang jahat?” Tuhan itu kudus (Yesaya 6:3; Wahyu 4:8). Manusia berdosa (Roma 3:23;6:23). Mahukah anda mengetahui bagaimana Allah melihat manusia? “Seperti yang tertulis di dalam Alkitab: Tidak seorang pun yang benar di sisi Allah, tidak seorang pun yang memahami apa yang benar, dan tidak seorang pun menyembah Allah. Semua orang sudah menjauhkan diri daripada Allah; semuanya sudah sesat. Tidak seorang pun berbuat benar; seorang pun tidak. Kata-kata dari mulut mereka menyebabkan kematian, tipu muslihat mengalir dari lidah mereka, dan fitnah seperti bisa ular tersembur dari bibir mereka; mulut mereka penuh dengan kutuk dan cerca. Mereka cepat mencederakan dan membunuh orang; mereka menyebabkan kebinasaan dan kehancuran di mana-mana. Mereka tidak mengikut jalan kedamaian, dan mereka pun tidak menghormati Allah."(Roma 3:10-18) Setiap manusia di atas muka bumi ini patut dibuang ke neraka pada saat ini juga. Setiap saat kita hidup hanyalah disebabkan oleh anugerah Tuhan. Walaupun kita mengalami kesedihan yang paling menderita di atas muka bumi ini, itu juga merupakan suatu kemurahan daripada Tuhan berbanding dengan segala yang kita patut terima iaitu api kekal di lautan api neraka.
“Tetapi Allah telah menunjukkan betapa besarnya kasih-Nya kepada kita, kerana Kristus mati bagi kita semasa kita masih berdosa” (Roma 5:8). Walaupun dengan kejahatan dan sifat berdosa semua orang dalam dunia ini, Tuhan masih mengasihi kita. Dia sangat mengasihi kita sehingga sanggup mati untuk menanggung hukuman dosa-dosa kita ke atas diri-Nya sendiri (Roma 6:23). Apa yang kita perlu lakukan hanyalah percaya kepada Tuhan Yesus Kristus (Yohanes 3:16; Roma 10:9) supaya dapat diselamatkan dan menerima janji sebuah kediaman di syurga (Roma 8:1). Apa yang kita layak terima hanyalah neraka. Sebaliknya apa yang diberikan kepada kita ialah kehidupan kekal sekiranya kita mahu percaya. Pernah dikatakan bahawa dunia ini satu-satunya neraka yang dialami oleh mereka yang percaya, dan dunia ini satu-satunya syurga yang dinikmati oleh mereka yang tidak percaya. Lain kali apabila kita hendak bertanya, “Mengapa Tuhan mengizinkan perkara buruk berlaku ke atas orang baik?” barangkali kita perlu bertanya, “Mengapa Tuhan mengizinkan perkara-perkara baik berlaku ke atas orang jahat?”
English
Mengapakah Tuhan mengizinkan perkara buruk berlaku ke atas orang baik?