Soalan
Mengapakah Tuhan meletakkan pokok pengetahuan tentang yang baik dan yang jahat di taman Eden?
Jawapan
Tuhan meletakkan pokok pengetahuan tentang yang baik dan jahat di taman Eden untuk memberikan Adam dan Hawa pilihan untuk mentaati atau tidak mentaati-Nya. Adam dan Hawa diberikan kebebasan untuk melakukan apa sahaja yang mereka kehendaki, kecuali memakan buah dari pokok pengetahuan tentang yang baik dan yang jahat. Kejadian 2:16-17, “Lalu TUHAN Allah memberi perintah ini kepada manusia: "Semua pohon dalam taman ini boleh kaumakan buahnya dengan bebas, tetapi pohon pengetahuan tentang yang baik dan yang jahat itu, janganlah kaumakan buahnya, sebab pada hari engkau memakannya, pastilah engkau mati”. Sekiranya Tuhan tidak memberikan mereka pilihan itu, maka Adam dan Hawa akan seperti robot-robot yang hanya melakukan senarai tugas yang diprogramkan dalam sistem mereka. Tuhan menciptakan Adam dan Hawa menjadi mahluk yang “bebas”, mampu untuk membuat keputusan dan dapat memilih di antara yang baik dengan yang jahat. Mereka perlu diberikan titik membuat pilihan supaya mereka benar-benar menjadi mahluk yang bebas.
Tidak ada kejahatan pada pokok atau buah daripada pokok terlarang itu. Bukan soal memakan buah terlarang itu yang telah memberikan pengetahuan tambahan kepada Adam dan Hawa. Perbuatan tidak mentaati itulah yang telah membuka mata mereka terhadap kejahatan. Dosa ketidaktaatan mereka terhadap Tuhan telah membawa dosa dan kejahatan ke dalam dunia dan kehidupan mereka. Memakan buah terlarang sebagai satu tindakan yang tidak mentaati, telah memberikan Adam dan Hawa pengetahuan tentang yang jahat (Kejadian 3:6-7).
Tuhan tidak mahu Adam dan Hawa berbuat dosa. Sejak awal Tuhan sudah mengetahui apa yang akan diakibatkan oleh dosa. Tuhan tahu Adam dan Hawa akan berbuat dosa dan akan membawa kejahatan, penderitaan dan maut ke dalam dunia. Jadi mengapakah Tuhan mengizinkan Iblis menggoda Adam dan Hawa? Tuhan mengizinkan Iblis menggoda Adam dan Hawa supaya mereka membuat pilihan. Berdasarkan kebebasan mereka untuk membuat pilihan, Adam dan Hawa telah memilih untuk tidak mentaati Tuhan dan memakan buah terlarang itu. Akibatnya wabak kejahatan, dosa, penderitaan, penyakit dan kematian telah menular ke seluruh dunia semenjak peristiwa itu. Pilihan Adam dan Hawa telah mengakibatkan setiap orang dilahirkan dengan sifat berdosa dan kecenderungan untuk berbuat dosa. Pilihan Adam dan Hawa itu menuntut Yesus Kristus untuk mati di kayu salib dan mencurahkan darah-Nya bagi pihak kita. Melalui iman di dalam Yesus Kristus kita dapat dibebaskan daripada akibat-akibat dosa dan akhirnya daripada dosa itu sendiri. Kita dapat menyerukan kata-kata Rasul Paulus dalam Roma 7:24-25, “Aku, manusia celaka! Siapakah yang akan melepaskan aku dari tubuh maut ini? Syukur kepada Allah! oleh Yesus Kristus, Tuhan kita!”
English
Mengapakah Tuhan meletakkan pokok pengetahuan tentang yang baik dan yang jahat di taman Eden?