Soalan
Apakah premilenialisme?
Jawapan
Premilenialisme merupakan pandangan yang mengatakan Kristus akan datang kedua kali sebelum Ia mendirikan Kerajaan 1000 tahun yang kelihatan di atas muka bumi. Ada dua perkara yang perlu difahami dengan baik dalam memahami dan menafsir perkara-perkara akhir zaman. 1) Satu kaedah penafsiran Alkitab yang baik dan tersusun dan 2) perbezaan di antara Israel (Yahudi) dengan gereja (orang-orang yang percaya dalam Kristus).
Kaedah penafsiran Alkitab yang baik dan tersusun menuntut Firman Tuhan ditafsir dengan cara yang tidak bertentangan dengan konteksnya. Ini bererti satu bahagian Alkitab mestilah ditafsirkan dalam cara yang sesuai dengan penerima yang kepadanya Firman Tuhan itu telah ditulis, penulisan tentang apa, siapa penulis, dan sebagainya. Penting sekali untuk mengetahui siapa penulis, penerima pertama dan latarbelakang sejarah Firman Tuhan yang kita hendak tafsirkan. Keadaan sejarah dan budaya seringkali dapat memberikan maksud sebenar bahagian Firman Tuhan. Ingat bahawa Firman menafsir Firman. Maksudnya seringkali satu bahagian Firman Tuhan itu bercakap tentang suatu perkara yang ada disentuh di bahagian Firman Tuhan yang lain. Penting menafsir Firman Tuhan dengan tepat dan tidak bertentangan di antara satu dengan yang lain.
Firman Tuhan mestilah diterima dalam pengertian yang normal dan harfiah kecuali konteksnya memberi petunjuk ia bersifat bahasa gambaran. Penafsiran secara harfiah tidak menolak kemungkinan penggunaan bahasa gambaran. Ia mendorong para penafsir untuk tidak memasukkan bahasa gambaran ke dalam pengertian Firman Tuhan kecuali bersesuaian dengan konteks. Penting sekali untuk tidak mencari “pengertian lebih dalam yang lebih rohani” daripada apa yang sudah dinyatakan. Mencari pengertian lebih dalam yang lebih rohani adalah berbahaya sebab ia memindahkan dasar penafsiran yang tepat daripada Firman Tuhan kepada fikiran si penafsir. Akibatnya, tidak akan ada piawai penafsiran Firman Tuhan yang jelas sehingga pengertian Firman sangat tertakluk kepada kepada firasat seseorang semata. 2 Petrus 1: 20-21 memperingatkan kita “Kitab Suci tidak boleh ditafsirkan menurut kehendak sendiri, sebab tidak pernah nubuat dihasilkan oleh kehendak manusia, tetapi oleh dorongan Roh Kudus orang-orang berbicara atas nama Allah.”
Dengan menerapkan prinsip-prinsip penafsiran Alkitab ini, kita perlu melihat bahawa Israel (keturunan jasmani Abraham) dan gereja (orang-orang percaya dalam Perjanjian Baru) merupakan dua kumpulan yang berbeza. Perbezaan di antara Israel dengan gereja perlu jelas kepada kita sebab jika tidak maka Firman akan disalah tafsir dan disalah mengerti. Bahagian yang sering disalahmengertikan merupakan bahagian Firman yang mengadungi janji-janji Tuhan kepada Israel. Janji-jani itu tidak boleh diterapkan kepada gereja. Konteks Firman Tuhan akan menentukan kepada siapa ia ditujukan dan ia akan membawa kepada penafsiran yang tepat.
Dengan konsep ini dalam minda kita, sekarang kita dapat melihat kepada beberapa bahagian Firman Tuhan yang menghasilkan pandangan premilenialisme . Kejadian 12:1-3: “Berfirmanlah TUHAN kepada Abram: "Pergilah dari negerimu dan dari sanak saudaramu dan dari rumah bapamu ini ke negeri yang akan Kutunjukkan kepadamu; Aku akan membuat engkau menjadi bangsa yang besar, dan memberkati engkau serta membuat namamu masyhur; dan engkau akan menjadi berkat. Aku akan memberkati orang-orang yang memberkati engkau, dan mengutuk orang-orang yang mengutuk engkau, dan olehmu semua kaum di muka bumi akan mendapat berkat.”
Tuhan menjanjikan tiga perkara kepada Abraham: Abraham akan mempunyai keturunan yang sangat ramai, bangsa ini akan mempunyai tanahair mereka sendiri dan satu berkat sedunia akan datang kepada semua manusia melalui keturunan Abraham (orang Yahudi). Dalam Kejadian 15: 9-17, Tuhan mengesahkan perjanjian-Nya dengan Abraham. Tuhan melaksanakan ini dengan cara meletakkan tanggungjawab perjanjian itu ke atas diri-Nya sendiri. Itu bererti, tidak ada yang dapat dilakukan atau tidak dapat dilakukan Abraham yang akan membatalkan perjanjian yang Tuhan telah adakan dengannya. Dalam bahagian ini juga, sempadan untuk tanah yang akan dikuasai orang Yahudi telah dinyatakan. Lihat Ulangan 34 untuk membaca lebih lanjut tentang sempadan ini. Bahagian Firman Tuhan yang bercakap tentang janji tanah di bahagian lain dalam Alkitab terdapat dalam Ulangan 30: 3-5 dan Yehezkiel 20: 42-44.
Dalam 2 Samuel 7:10-17 kita melihat janji Tuhan kepada Raja Daud. Tuhan menjanjikan Daud keturunan dan daripada keturunan ini Tuhan akan mendirikan satu kerajaan yang kekal. Ini merujuk kepada pemerintahan Kristus selama 1000 tahun dan selama-lamanya. Ingat bahawa janji ini akan digenapi secara harfiah dan masih belum berlaku. Ada pihak mempercayai pemerintahan Salomo sebagai penggenapan harfiah kepada nubuatan ini, tetapi kita menghadapi masalah dengan pandangan itu. Wilayah yang dikuasai Salomo tidak lagi dikuasai Israel pada hari ini dan Salomo tidak lagi memerintah. Tuhan berjanii keturunan Abraham akan berkuasa ke atas tanah yang akan diberikan kepada mereka selama-lamanya. Dalam 2 Samuel 7 Tuhan berkata Dia akan mendirikan Kerajaan yang akan berkekalan. Tidak mungkin Salomo merupakan penggenapan kepada janji yang Tuhan telah berikan kepada Daud. Oleh yang demikian, ini merupakan satu janji yang masih akan digenap d masa akan datangi.
Dengan itu mari kita selidiki apa yang tertulis dalam Wahyu 20:1-7. Seribu tahun yang berulangkali disebut dalam bahagian ini merupakan Kerajaan 1000 tahun yang dalamnya Tuhan Yesus akan memerintah di atas muka bumi. Ingat janji Tuhan kepada Daud berhubung seorang raja yang masih belum digenapi. Premilenialisme memandang kepada suatu peristiwa yang akan menggenapi janji itu dengan Kristus duduk di atas taktha. Tuhan mengadakan perjanjian tidak bersyarat dengan Abraham dan Daud. Perjanjian kepada Abraham dan Daud ini belum ada penggenapan yang penuh dan berterusan. Kerajaan harfiah 1000 tahun sajalah satu-satunya cara supaya janji-janji Tuhan dapat digenapi sebagaimana yang seharusnya.
Kaedah penafsiran harfiah terhadap Firman Tuhan meletakkan setiap perkara di tempatnya dan kita mendapat gambaran yang menyeluruh dan jelas. Kesemua nubuatan Perjanjian Lama tentang kedatangan Yesus telah digenapi secara harfiah. Oeh yang demikian kita percaya semua nubuatan berkenaan kedatangan-Nya yang kedua kali juga akan digenapi secara harfiah. Premilenialisme merupakan satu-satunya sistem yang bersetuju dengan penafsiran secara harfiah terhadap perjanjian-perjanjian Tuhan dan nubuatan akhir zaman.
English
Apakah premilenialisme?