Soalan
Dapatkah orang di syurga memandang ke bawah dan melihat kita yang masih di bumi?
Jawapan
Ibrani 12:1 menyatakan, “Karena kita mempunyai banyak saksi, bagaikan awan yang mengelilingi kita...” Beberapa orang memahami kata-kata “saksi bagaikan awan” ini sebagai orang-orang yang melihat kita dari syurga. Itu bukan penafsiran yang betul. Ibrani 11 merekodkan iman ramai orang yang dipuji oleh Tuhan. Orang-orang inilah yang dimaksudkan sebagai “saksi bagaikan awan.” Mereka merupakan “saksi-saksi” bukan kerana mereka sedang memperhatikan kita melainkan mereka telah memberikan teladan kepada kita. Mereka merupakan saksi-saksi Kristus, Allah dan kebenaran. Ibrani 12:1 seterusnya menyatakan, “...marilah kita menanggalkan semua beban dan dosa yang begitu merintangi kita, dan berlomba dengan tekun dalam perlombaan yang diwajibkan bagi kita.” Disebabkan ketekunan iman orang-orang percaya yang terlebih dahulu, kita terdorong untuk meneladani mereka.
Secara khusus Alkitab tidak ada mengatakan bahawa orang-orang di syurga dapat melihat kepada kita yang di bumi. Besar kemungkinan mereka tidak dapat. Kenapa? Sebab pertama, sekiranya mereka melihat ke bumi, mereka akan nampak perkara-perkara yang akan menyedihkan dan menyakitkan mereka seperti perbuatan-perbuatan dosa dan kejahatan. Memandangkan tidak ada kesakitan, airmata dan kesedihan di syurga maka memperhati peristiwa-peristiwa dunia ini adalah sesuatu yang tidak mungkin. Kedua, orang-orang di syurga sangat sibuk menikmati suasana syurga dan penyembahan kepada Tuhan sehingga mereka sudah tidak berminat lagi dengan apa yang berlaku di atas bumi ini. Keadaan mereka yang sudah bebas daripada dosa dan mengalami hadirat Tuhan di syurga sudah lebih daripada cukup untuk menangkap perhatian mereka. Memang tidak mustahil bagi Tuhan untuk membenarkan orang-orang di syurga melihat orang-orang yang mereka kasihi di bumi, namun Alkitab tidak memberi landasan kepada kita untuk percaya bahawa ianya berlaku demikian.
English
Dapatkah orang di syurga memandang ke bawah dan melihat kita yang masih di bumi?