settings icon
share icon
Soalan

Apakah yang dikatakan Alkitab tentang pengurusan kewangan anda?

Jawapan


Alkitab banyak bercakap tentang pengurusan kewangan. Secara umum Alkitab tidak menggalak kita untuk meminjam wang. Lihat Amsal 6:1-5; 20:16; 22:7, 26-27 (“Orang kaya memerintah ke atas orang miskin, yang meminjam menjadi hamba kepada peminjam ...Jangan engkau termasuk orang yang membuat persetujuan, dan yang menjadi penanggung hutang; Mengapa orang akan mengambil tempat tidurmu dari bawahmu, bila engkau tidak mempunyai apa-apa untuk membayar kembali?”). Alkitab berkali-kali memberi amaran terhadap pengumpulan harta tetapi sebaliknya mendorong kita supaya mengumpulkan kekayaan rohani. Amsal 28:20: “Orang yang dapat dipercaya mendapat banyak berkat, tetapi orang yang ingin cepat menjadi kaya, tidak akan luput dari hukuman.” Lihat juga Amsal 10:15; 11:4; 18:11; 23:5.

Amsal 6:6-11 menawarkan hikmat kerajinan. Kemiskinan yang teruk adalah akibat yang tidak dapat dielakkan oleh kemalasan. Kita dinasihatkan untuk melihat kepada semut yang rajin berusaha untuk menyimpan makanan bagi dirinya. Bahagian Firman Tuhan ini juga memberi amaran supaya jangan tidur pada waktu di mana kita sepatutnya mengerjakan sesuatu yang menguntungkan. Seorang “pemalas” merupakan seorang yang lembab, lamban dan seorang yang lebih menyukai tidur daripada bekerja. Masa depan untuk seorang pemalas sudah cukup jelas, iaitu kemiskinan dan kekurangan. Di suatu tahap pula terdapat orang yang pada fikirannya hanya untuk mendapatkan wang. Menurut Pengkhotbah 5: 10, orang yang seperti itu tidak akan dapat dipuaskan dengan kekayaan dan terus mahu mendapat lebih banyak lagi. 1 Timotius 6: 6-11 memberikan kita amaran terhadap perangkap mengingini kekayaan.

Daripada melonggokkan kekayaan ke atas diri kita, model Alkitab adalah memberi, bukannya menerima. “Camkanlah ini: Orang yang menabur sedikit, akan menuai sedikit juga dan orang yang menabur banyak, akan menuai banyak juga. Hendaklah masing-masing memberikan menurut kerelaan hatinya, jangan dengan sedih hati atau karena paksaan, sebab Allah mengasihi orang yang memberi dengan sukacita.” (2 Korintus 9:6-7). Kita didorong untuk menjadi pengurus yang baik ke atas semua pemberian Tuhan kepada kita. Dalam Lukas 16:1-13, Yesus memberitahu tentang hamba yang tidak jujur untuk memberi amaran tentang pengurusan yang lemah. Pelajaran daripada perumpamaan tersebut adalah ini: “Sekiranya anda tidak dapat dipercayai dengan kekayaan di dunia, bagaimanakah anda akan dipercayakan dengan kekayaan yang sebenarnya?” (v. 11). Kita juga bertanggungjawab dalam menyediakan keperluan seisi rumah kita seperti yang diperingatkan dalam 1 Timotius 5:8: “Tetapi jika ada seorang yang tidak memeliharakan sanak saudaranya, apalagi seisi rumahnya, orang itu murtad dan lebih buruk dari orang yang tidak beriman.”

Secara ringkas, apakah yang dikatakan Alkitab tentang pengurusan wang? Jawabannya dapat dirumuskan dengan satu perkataan iaitu ‘hikmat’. Kita perlu bijak dengan wang. Kita perlu menyimpan wang tetapi bukan sampai membuatnya menjadi suatu khazanah. Kita perlu membelanjakan wang tetapi dengan budi bicara dan penguasaan diri. Kita perlu memberi kembali kepada Tuhan dengan sukacita dan hati yang berkorban.Kita perlu menggunakan wang kita untuk menolong orang lain tetapi dengan kebijaksanaan dan bimbingan Roh Kudus. Tidak salah untuk menjadi kaya, tetapi salah untuk mencintai wang. Tidak salah untuk menjadi miskin tetapi salah untuk berbelanja pada perkara yang remeh. Mesej konsisten Alkitab tentang pengurusan wang adalah supaya kita berlaku bijak.

English



Balik ke laman bahasa Melayu

Apakah yang dikatakan Alkitab tentang pengurusan kewangan anda?
Kongsi halaman ini: Facebook icon Twitter icon Pinterest icon Email icon
© Copyright Got Questions Ministries